AGAMABERITA SEMASA

Hormati sahabat Rasulullah – Mufti Wilayah

KUALA LUMPUR – Sebarang tindakan menghina sahabat Nabi merupakan perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan atau diungkapkan tanpa asas yang kukuh.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil bekata, menyebarkan dakwaan tanpa asas terhadap para sahabat Rasulullah SAW adalah satu penghinaan terhadap adab dan boleh menjatuhkan maruah tokoh yang sangat dimuliakan dalam sejarah Islam.

Ahmad Fauwaz berkata, kedudukan Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA dalam kalangan masyarakat Quraisy sebelum kedatangan Islam sememangnya sangat mulia dan dihormati.

“Beliau diberi tanggungjawab menguruskan hal berkaitan diyat serta membantu individu yang dibebani hutang.

“Tanggungjawab tersebut merangkumi usaha mengumpulkan bayaran diyat untuk diserahkan kepada keluarga mangsa serta membantu melunaskan hutang golongan yang menghadapi kesempitan kewangan.

“Amanah besar ini menunjukkan bahawa Saidina Abu Bakar RA adalah seorang yang dipercayai masyarakat kerana sifat amanah, pemurah dan prihatin terhadap kebajikan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Fauwaz berkata, kisah itu jelas menggambarkan bahawa Saidina Abu Bakar RA bukanlah seorang ceti atau peminjam wang sebagaimana yang didakwa.

Sebaliknya tokoh penting dalam masyarakat Quraisy yang memainkan peranan menjaga kebajikan sosial dan membantu golongan yang memerlukan.

“Sifat dermawan beliau terhadap masyarakat juga menjadi antara sebab mengapa beliau dihormati sebelum Islam dan seterusnya diangkat sebagai sahabat paling rapat dengan Rasulullah SAW setelah memeluk Islam,” katanya.

Mengenai kehidupan Saidina Umar al-Khattab RA pada zaman jahiliyyah, sejarawan Islam banyak membahaskan mengenai ketegasan, keberanian dan pengaruh beliau dalam masyarakat Quraisy, termasuk sikapnya terhadap dakwah Islam sebelum memeluk agama Islam.

Katanya, antara kisah yang sering tersebar ialah dakwaan bahawa beliau pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup, namun ramai sejarawan dan ulama hadis menjelaskan bahawa riwayat tersebut tidak mempunyai sandaran yang kukuh malah dianggap palsu.

Beliau berkata, hal itu turut diperkuatkan dengan fakta bahawa Saidina Umar RA sendiri mempunyai anak perempuan yang bernama Saidatina Hafsah RA dan menunjukkan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas.

“Dalam masa yang sama, sebahagian riwayat sejarah ada menyebut bahawa Saidina Umar RA pernah terbabit dengan budaya masyarakat Arab Jahiliah seperti meminum arak sebelum Islam, kerana perbuatan tersebut sememangnya menjadi kebiasaan masyarakat Arab pada ketika itu.

“Namun demikian, tidak ditemukan dalam perbahasan para ulama dan sejarawan Islam yang muktabar berkaitan riwayat yang menggambarkan beliau sebagai seorang penzina atau memiliki akhlak sedemikian,” katanya.

Ahmad Fauwaz berkata, Rasulullah SAW sangat memuliakan para sahabat dan disebabkan itu, adalah tidak wajar untuk menjadikan kisah zaman jahiliah sebagai bahan yang menggambarkan keburukan dan boleh mendatangkan fitnah terhadap para sahabat Nabi SAW.

Katanya, umat Islam hendaklah menjaga adab dalam membicarakan para sahabat Rasulullah SAW serta menolak segala tuduhan dan fitnah yang tidak berasaskan fakta.

Beliau turut memberikan garis panduan bagi para penceramah ketika membicarakan perihal sahabat Baginda SAW antaranya dengan merujuk sumber muktabar dan pandangan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah dalam memahami sejarah para sahabat dan memelihara adab dan kehormatan para sahabat Rasulullah SAW dalam setiap ucapan, penulisan dan penyampaian.

“Hindari ucapan berbentuk penghinaan, celaan, tuduhan atau sindiran terhadap mana-mana sahabat Nabi SAW, tidak menyampaikan kisah zaman jahiliyyah para sahabat dengan cara yang boleh mendatangkan fitnah dan meneliti kesahihan riwayat sebelum menyampaikan kisah berkaitan para sahabat, khususnya riwayat yang berunsur sensasi atau kontroversi.

“Perlu juga bersikap adil dan amanah dalam menyampaikan sejarah Islam tanpa dipengaruhi sentimen kebencian atau kepentingan tertentu dan menggunakan bahasa yang hikmah, sederhana dan mendidik ketika menjelaskan isu-isu sejarah berkaitan para sahabat Nabi SAW,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button