Suri rumah mengaku tidak bersalah hina Agong di Facebook
SHAH ALAM – Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi Facebook bulan lalu.
Tertuduh, Suhaila Abd Halim membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Hasniah Ab Razak.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili peguam, Rushilan Gunalan daripada Tetuan How & Partners.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan tanpa syarat tambahan.
Bagaimanapun, peguam bela memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan tertuduh merupakan suri rumah kategori B40 dan mempunyai enam orang anak berusia antara dua hingga 13 tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhampiran serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 21 Julai depan untuk serahan dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















