Hubungan Malaysia-Rusia semakin kukuh menjelang ulang tahun diplomatik ke-60 – Agong
KUALA LUMPUR – Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Persekutuan Rusia terus diperkukuh dengan kerjasama dua hala yang berkembang secara konsisten sejak terjalin hampir enam dekad lalu.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, hubungan erat yang dibina sejak tahun 1967 itu kini semakin produktif dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam pelbagai bidang kerjasama strategik.
Perkara tersebut dizahirkan Seri Paduka Baginda ketika mengadakan pertemuan empat mata bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin di Kremlin, Moscow semalam.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, baginda bertitah tahun 2027 bakal menjadi detik bersejarah buat Malaysia dan Rusia apabila kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik.
“Sejak tahun 1967, kerjasama antara kedua-dua negara terus berkembang secara konsisten menjadi hubungan yang kukuh dan produktif,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook.
Sultan Ibrahim turut bertitah, pertemuan bersama Presiden Putin di St. Petersburg pada awal Januari lalu berlangsung dalam suasana konstruktif serta membuahkan hasil positif.
Menurut baginda, kedua-dua pemimpin berkongsi aspirasi sama untuk mempertingkatkan lagi hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi demi kepentingan bersama.
“Perjalanan panjang yang ditempuhi bersama serta pencapaian signifikan dalam hubungan Malaysia-Rusia wajar diraikan menerusi sambutan yang bermakna dan bersejarah,” titah baginda lagi.
Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Kremlin disambut mesra oleh Presiden Putin.
Dalam pertemuan itu, Sultan Ibrahim turut berkenan menjemput Presiden Rusia berkenaan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia pada tahun 2027 sempena sambutan Jubli Intan hubungan diplomatik Malaysia-Rusia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















