Dr Akmal selar ADUN Rembia ponteng sidang DUN, hadir ceramah PAS walau masih MC
MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia yang menyertai PAS gagal melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat apabila ponteng sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), namun masih mampu hadir ke ceramah parti itu.
Menurut beliau, Speaker DUN pada Jumaat lalu memaklumkan Datuk Muhammad Jailani Khamis diberikan cuti sakit selama tiga bulan kerana mengalami kecederaan kaki retak, namun beliau dilihat hadir pada ceramah PAS malam sebelumnya.

Dr Akmal berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan apabila wakil rakyat tersebut tidak hadir ke sidang dewan yang hanya berlangsung empat hari dalam tempoh empat bulan, tetapi masih sanggup menghadiri program politik parti.
“Jumaat hari itu Speaker maklumkan YB Rembia MC tiga bulan sebab kaki retak, tapi malam sebelumnya boleh datang ke ceramah PAS pula.
“Yang tanggungjawab pada rakyat untuk hadir dan bahas dalam sidang dewan dia tidak mahu buat, tapi ceramah PAS dia sanggup datang walaupun masih dalam cuti sakit.
“Sidang DUN ini hanya empat hari sahaja dalam tempoh empat bulan, itu pun dia ponteng. Mungkin ceramah PAS lebih penting daripada tanggungjawab hakiki kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam masa sama, Dr Akmal turut membidas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menggelarnya sebagai ‘budak catur’ UMNO.

Menurutnya, beliau bukan sekadar berdepan dengan DAP di pentas ceramah, malah turut berhadapan dengan pemimpin parti itu melalui dua kes mahkamah.
“‘Budak catur’ yang hari ini bukan setakat lawan DAP di ceramah sahaja, tapi saya ada dua kes mahkamah lawan pemimpin DAP.
“Jadi kalau sampai ke mahkamah kita lawan, tapi YAB Sanusi cakap kita budak catur, terpulanglah,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran Sanusi ke Melaka sepatutnya digunakan untuk membawa cadangan membangunkan negeri itu dengan lebih baik berbanding pentadbiran Barisan Nasional (BN), bukannya sekadar mengkritik pihak lain.
Dr Akmal turut menasihatkan Sanusi agar menegur terlebih dahulu ADUN Rembia sebelum mengkritik pihak lain.
“Sebelum hendak kutuk orang, saya minta YAB Sanusi ceramah dan nasihat pada ADUN Rembia yang melompat masuk PAS itu.
“Melayu ini perlu disatukan, bukan diperbodohkan dan kutuk sana sini untuk memecahkan lagi orang Melayu,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Melaka akhirnya akan menilai sendiri siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka dan siapa yang hanya ‘kaki ponteng’ serta memperdayakan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







