CBTL mahu hargai jururawat bantu selamatkan wanita tercekik
KUALA LUMPUR – Rangkaian kafe The Coffee Bean & Tea Leaf Malaysia (CBTL) bercadang untuk memberi penghargaan kepada jururawat, Siti Maisyura yang membantu menyelamatkan seorang wanita yang tercekik makanan ketika makan di restoran miliknya.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Urusan CBTL Malaysia, Datuk Amar Shah Abdul Aziz menerusi hantaran di Threads selepas beliau berjaya menghubungi jururawat berkenaan secara peribadi.
Menurut Amar Shah, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Siti Maisyura dan pengurusan hospital bagi menghargai nilai kemanusiaan, belas ihsan dan keberanian yang ditunjukkan jururawat tersebut walaupun ketika tidak bertugas.
“Apa yang ditunjukkan beliau membuktikan nilai kemanusiaan yang menjadikan dunia ini lebih indah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan CBTL berhasrat menjalinkan kerjasama dengan pihak hospital untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kemahiran asas kecemasan dan bantuan menyelamatkan nyawa.
“CBTL sedia bekerjasama dalam usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai kemahiran bantuan kecemasan,” katanya.
Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi positif netizen yang memuji pendekatan empati dan keprihatinan ditunjukkan oleh Amar Shah.

Seorang pengguna, @aidaaleemahpaints berkata, pendekatan mesra pelanggan dan sifat empati yang dipamerkan menyebabkan dia kembali menyokong CBTL.
“Disebabkan cara anda melayan pelanggan dan tahap empati yang ditunjukkan, saya kembali ke CBTL,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, @adzminshah turut menzahirkan penghargaan terhadap Amar Shah kerana menghargai nilai kemanusiaan dan belas ihsan terhadap petugas kesihatan.
Terdahulu, video memaparkan seorang jururawat ‘off-duty’ membantu seorang wanita yang tercekik makanan di kafe sebuah hospital menggunakan kaedah Heimlich pada 4 Mei lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















