Lebih 6,000 kekosongan jawatan jururawat di KKM – Dr. Dzulkefly
KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, memaklumkan terdapat 6,787 kekosongan jawatan jururawat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat 31 Mac lalu.
Menurut Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, kekosongan tersebut membabitkan jawatan sedia ada dan pewujudan jawatan baharu berikutan naik taraf serta pembinaan fasiliti baharu.
Jelasnya, KKM sedang melaksanakan proses pengambilan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi memastikan bilangan jururawat yang mencukupi di fasiliti yang berkenaan.
“Pengambilan akan dibuat secara berfasa dalam kalangan graduan Diploma Kejururawatan daripada institusi pendidikan tinggi awam (IPT) awam dan swasta serta graduan Diploma Kejururawatan dari Institut Latihan KKM (ILKKM)
“Selain usaha pengisian jawatan itu, KKM juga meningkatkan lagi jumlah pengambilan pelatih Diploma Kejururawatan di Institut Latihan KKM daripada 1,000 kepada 2,000 pelatih, manakala penawaran kepada Jururawat Masyarakat ke Program Peningkatan Secara Lantikan (PSL) juga ditingkatkan daripada 800 ke 1,000 orang setahun,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai tindakan KKM menangani peletakan jawatan jururawat yang dilaporkan kerana tidak puas hati dengan gaji rendah dan bagaimana KKM mengisi jawatan kosong jururawat tersebut.
Jelas Dzulkefly lagi, KKM tidak mengambil ringan perkara itu kerana ia boleh mengganggu kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Kata beliau, masalah sama turut dihadapi fasiliti swasta berikutan terdapat juga petugas mereka yang meletakkan jawatan untuk bekerja di fasiliti kesihatan yang lain di dalam atau luar negara.
“KKM sentiasa dinamik untuk melaksanakan pelbagai inisiatif seperti memperbaiki persekitaran kerja, menimbang insentif dan kemudahan berbentuk kewangan dan bukan kewangan bagi mengekalkan petugas kesihatan, khususnya jururawat dalam perkhidmatan KKM.
“Kerajaan juga sedang memuktamadkan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menyemak semula gaji, insentif dan kemudahan kepada anggota perkhidmatan awam, termasuk pegawai yang berkhidmat dengan KKM, dan semua input serta cadangan daripada pegawai dan kesatuan sudah pun dikemukakan untuk pertimbangan dalam kajian itu,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














