Pejabat Steven Sim tutup, hadiri pengebumian datuk ketika Zaharudin mahu serah LOD
BUKIT MERTAJAM – Kegagalan Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad untuk menyampaikan surat tuntutan (LOD) kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim di Pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu semalam disebabkan beliau menghadiri majlis pengebumian datuknya yang meninggal dunia.
Difahamkan, Steven menghadiri majlis pengebumian datuknya, Yeoh Aik Guan yang meninggal dunia Ahad lalu pada usia 102 tahun, semalam.
Menerusi satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh pegawai dari pejabat Menteri Sumber Manusia memaklumkan Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu akan memberi respon melalui laman media sosialnya hari ini.

Terdahulu, melalui satu video yang dimuat naik di Facebook, Zaharudin berkata, beliau hadir ke Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam untuk menyerahkan LOD kepada Steven, namun mendapati pejabat tersebut ditutup dan tiada kakitangan yang hadir.
Menurut Zaharudin, beliau tiba di pejabat tersebut sekitar jam 3 petang dan menunggu sehingga jam 5.30 petang, namun tiada sebarang aktiviti atau petugas yang membuka premis tersebut.
“Saya datang untuk menyerahkan surat LOD berhubung dakwaan fitnah yang mengatakan saya menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bersifat rasis dan pelbagai tuduhan lain. Saya tegaskan sekali lagi bahawa saya tidak pernah menghina ATM, malah saya sendiri mempertahankan institusi tersebut,” kata Zaharudin menerusi satu kenyataan video di lokasi tersebut.
BACA : Pelantikan leftenan jeneral berbangsa Cina, Steven Sim sedia disaman Zaharudin
Beliau turut mencabar Steven untuk berdialog secara terbuka mengenai isu dasar Malaysia My Second Home (MM2H) termasuk kesan politik dan ekonominya.
“Kalau benar mahu berdialog, mari kita bincang soal dasar MM2H. Siapa untung, siapa rugi tapi jika kamu terus menuduh saya menghina ATM, kita jumpa di mahkamah atau kamu mohon maaf secara terbuka,” tambahnya.
Zaharudin berkata beliau akan cuba menghantar surat tuntutan tersebut sekali lagi dalam masa terdekat dan bersedia mengambil tindakan undang-undang jika tiada permohonan maaf dibuat oleh pihak Steven.
Terdahulu, Malaysia Tribune melaporkan Steven bersedia untuk disaman oleh Zaharudin berhubung kenyataannya yang menghasut sentimen perkauman susulan pelantikan Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral ATM.
Steven berkata, beliau hanya bersuara melawan tindakan perkauman tersebut dan mempertahankan ATM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







