RUU Pekerja Gig 2025 diluluskan
KUALA LUMPUR – Setelah tujuh tahun digubal, Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.
RUU bagi membolehkan lebih 1.2 juta pekerja gig di negara ini mendapat hak merundingkan gaji dan syarat kerja itu meraih sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15.
RUU dengan 112 Fasal dan dibentangkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim itu diluluskan selepas dibahaskan 23 anggota Dewan Rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang.
RUU itu mempunyai empat aspek utama iaitu definisi pekerja gig, majlis tiga hala untuk menetapkan isu seperti pendapatan, mekanisme penyelesaian pertikaian dan perlindungan keselamatan sosial.
Mengenai penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), Sim berkata ia tidak bercanggah dengan penggubalan RUU berkenaan memandangkan kedua-duanya adalah perkara berbeza.
Ini kerana, katanya RUU Pekerja Gig 2025 adalah perlindungan perburuhan pekerja gig, selain kerajaan sudah membuat keputusan supaya jawatankuasa mengkaji SEGiM dipimpin Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya yakin beliau (Ahmad Zahid) sebagai antara juara perjuangan pekerja gig ini akan memberi terma, syarat, bidang kuasa dan sebagainya yang tidak bercanggah dengan RUU ini.
“Ada pihak kata RUU ini tiada penguat kuasa dan pihak berkuasa. Ini tidak betul kerana kita ada penguat kuasa daripada Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Perhubungan Perusahaan, Tribunal Pekerja Gig dan PERKESO (juga) ada agensi penguat kuasanya.
“Justeru, tak betul kalau kata tiada SEGiM, maka tiada pihak bertanggungjawab. RUU ini dan SEGiM adalah dua perkara berbeza dan kerajaan dalam proses mengkaji untuk menubuhkan SEGiM kelak,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








