Anak mangsa nahas pemandu mabuk kembali bersekolah
LARUT – Anak-anak kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, mangsa kemalangan yang maut dirempuh pemandu mabuk di Klang bulan lalu, kini semakin menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu di kampung dan telah kembali memulakan sesi persekolahan masing-masing.
Balu Allahyarham, Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata, dua anaknya, Muhammad Aqif Amsyar, 9, dan Muhammad Aliff Izz Rayqal, 7, kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kampung Repoh dan menunjukkan perkembangan positif walaupun masih dalam fasa pemulihan emosi selepas tragedi tersebut.
“Mereka mula melupakan kejadian tersebut, malah telah pun pergi ke sekolah. Kalau lihat wajah anak-anak, mereka semakin seronok di sini,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Repoh, hari ini.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim yang hadir bagi menyampaikan bantuan pendidikan kepada ketiga-tiga anak Allahyarham.
BACA JUGA:
Isteri Amirul Hafiz mahu saman RM1 juta
Juruteknik didakwa bunuh, sebabkan kematian Amirul Hafiz
Dua anak Amirul Hafiz jadi anak angkat MARA
Mengulas lanjut, Nor Nadia berkata anak bongsunya, Nur Humaira, 2, masih sering bertanyakan mengenai arwah bapanya kerana merindui suaranya.
Pada masa sama, Nor Nadia mengakui masih merindui arwah suaminya, namun berusaha menguatkan diri demi memastikan masa depan anak-anak terus terpelihara.
“Saya rindukan suasana lama kerana banyak kenangan di kediaman kami di Shah Alam.
“Bagaimanapun, arwah pernah berpesan sebelum meninggal dunia bahawa jika berlaku sesuatu kepadanya, dia mahu saya pulang ke kampung.
“Paling penting sekarang ialah saya mahu meneruskan kehidupan dan memastikan semua anak membesar dengan baik,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Nor Nadia turut meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima daripada PTPTN kerana ia memberi kelegaan serta jaminan terhadap masa depan pendidikan anak-anaknya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






