BERITA SEMASA

Isteri Amirul Hafiz mahu saman RM1 juta

KLANG – Isteri kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, penunggang motosikal yang maut dirempuh pemandu dipercayai mabuk dan berada di bawah pengaruh dadah mahu memfail saman sebanyak RM1 juta terhadap tertuduh yang didakwa membunuh suaminya dalam kejadian Ahad lalu.

Peguam, Mohd Faizi Che Abu yang mewakili Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata, jumlah sebenar dalam kes saman sivil ini belum dimuktamadkan kerana terdapat pengiraan yang perlu dibuat atas beberapa faktor.

“Di sisi undang-undang, kita tak boleh tuntut pampasan berdasarkan emosi kerana ada pengiraan yang akan diambil kira antaranya gaji dan tanggungan keluarga mangsa.

“Saya akan berbincang dengan anak guam, tetapi jumlah itu perlu dibuat berdasarkan prinsip undang-undang serta ketetapan kes-kes terdahulu,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Beliau berkata demikian selepas mengikuti prosiding kes pendakwaan terhadap juruteknik, R Saktygaanapathy, 28, di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Semasa prosiding, Saktygaanapathy mengangguk tanda faham selepas didakwa membunuh Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, di sini pada pukul 11.47 pagi, 29 Mac lalu.

BACA JUGA:

Juruteknik didakwa bunuh, sebabkan kematian Amirul Hafiz

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman gantung, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

Dalam pada itu, Saktygaanapathy mengaku bersalah atas satu pertuduhan memberikan dirinya dadah disyaki jenis Benzo dan Tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan, di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang pada pukul 3.30 petang tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Mohd Faizi yang hadir selaku peguam pemerhati berkata, mahkamah memberikan kebenaran kepada mereka untuk turut serta dalam prosiding terbabit.

Katanya, kebenaran itu sekali gus memberikan kemudahan kepada mereka untuk mendapatkan fakta yang sahih daripada mahkamah, sebelum saman dan tindakan susulan daripada pihak insurans dapat dibuat.

Beliau berkata, tertuduh dalam kes itu tidak diwakili peguam dan berkemungkinan ahli keluarga mahupun pihak mahkamah akan melantik wakil tersebut menjelang sebutan kes akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button