BERITA SEMASALUAR NEGARA

Tiga terbunuh dalam serangan bot dadah di Caribbean

WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan satu lagi serangan terhadap bot yang didakwa terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Laut Caribbean semalam mengakibatkan tiga individu terbunuh.

Menurut kenyataan U.S. Southern Command (SOUTHCOM), serangan tersebut dilaksanakan atas arahan komandernya, Jeneral Francis L. Donovan menerusi Pasukan Petugas Bersama Southern Spear.

“Satu serangan kinetik maut telah dilaksanakan ke atas sebuah kapal yang dikendalikan oleh organisasi yang dikenal pasti sebagai pengganas,” menurut kenyataan yang dimuat naik di platform X. SOUTHCOM memaklumkan tiada anggota tentera AS yang tercedera dalam operasi itu.

Bagaimanapun, lokasi sebenar serangan tidak didedahkan.

Pihak tentera hanya menyatakan risikan mengesahkan kapal berkenaan sedang melalui laluan penyeludupan dadah yang diketahui di rantau Caribbean serta terlibat dalam operasi pengedaran narkotik.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 124 individu dilaporkan terbunuh dalam siri serangan ke atas bot yang disyaki membawa dadah di bawah Operasi Southern Spear iaitu satu kempen yang dilancarkan pentadbiran Presiden Donald Trump bagi membanteras penyeludupan dadah.

Pentadbiran tersebut melabelkan mereka yang terbunuh sebagai “pejuang tidak sah” dan mendakwa mempunyai kuasa untuk melaksanakan serangan maut tanpa semakan kehakiman berdasarkan dapatan sulit Jabatan Kehakiman AS.

Serangan itu merupakan serangan keempat yang diumumkan secara terbuka tahun ini.

Terdahulu minggu ini, satu serangan mengorbankan dua individu manakala seorang terselamat.

Dalam insiden itu, Pengawal Pantai AS memberikan sokongan teknikal kepada operasi mencari dan menyelamat yang diselaraskan oleh Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim Ecuador.

Namun begitu, pentadbiran AS dilihat tidak mengemukakan bukti terperinci secara terbuka bagi mengesahkan kesemua individu yang terbunuh dalam Operasi Southern Spear mempunyai kaitan dengan kartel dadah atau bahawa setiap kapal yang disasarkan membawa bahan terlarang.

Kesahihan undang-undang operasi tersebut turut menjadi perhatian serius Kongres AS sejak ia bermula pada September lalu.

Tumpuan khusus diberikan kepada serangan pertama pada 2 September yang melibatkan serangan susulan sehingga mengorbankan dua anak kapal yang sebelum itu terselamat.

Beberapa peguam tentera semasa dan bekas pegawai perundangan ketenteraan sebelum ini dilaporkan menyatakan bahawa serangan tersebut berkemungkinan tidak menepati kerangka undang-undang antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button