Polis tingkat pemantauan kumpulan ekstremis eksploitasi agama
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperketat pemantauan terhadap kumpulan ekstremis dan militan yang menyalahgunakan agama bagi menjustifikasikan tindakan keganasan, termasuk serangan bunuh diri.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pengalaman lampau membuktikan bahawa ancaman kumpulan seperti Jemaah Islamiyah (JI) tidak boleh dipandang ringan apabila mereka menggunakan ideologi songsang untuk menghasut keganasan.
“Kejayaan Cawangan Khas melancarkan operasi besar-besaran terhadap JI sejak Disember 2001 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah menggagalkan beberapa perancangan serangan di Malaysia.
“Ketika itu, JI bukan sahaja terbabit dalam serangan berani mati di Indonesia, malah turut merancang melancarkan serangan di negara ini bagi menggulingkan kerajaan yang mereka anggap ‘kufur’ melalui konsep jihad perang.
“Fahaman seperti ini jelas bertentangan dengan nilai negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen serta memberi ruang kepada rakyat membentuk kerajaan melalui pilihan raya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, sebarang ideologi yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu dibanteras secara tegas bagi mengelakkan penularan fahaman ekstrem dalam kalangan masyarakat.
Ayob turut berkata, operasi pada tahun 2001 turut mendedahkan struktur organisasi JI di peringkat serantau yang memperjuangkan penubuhan ‘Daulah Islamiah’ melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, selatan Filipina dan Australia.
“Bagi mencapai matlamat itu, mereka menghalalkan keganasan termasuk serangan bunuh diri untuk menggulingkan kerajaan yang dianggap sekular dan tidak Islamik,” katanya lagi.
Beliau berkata, antara bukti jelas komitmen JI terhadap keganasan ialah siri serangan bunuh diri di Indonesia seperti di Bali (2002 dan 2005), Hotel JW Marriott Jakarta (2003), Kedutaan Australia di Jakarta (2004) serta serangan gereja di Surabaya pada 2018.
Selain itu, anggota JI dari Malaysia juga pernah merancang serangan terhadap Pusat Imigresen Woodland di Singapura serta beberapa sasaran penting di Lembah Klang, manakala lima anggota JI Malaysia dikenal pasti dipilih oleh Al-Qaeda untuk melancarkan serangan di Amerika Syarikat selepas tragedi 11 September 2001.
“Bagaimanapun, semua perancangan tersebut berjaya digagalkan selepas penahanan operatif kanan JI dan sel bunuh diri oleh Cawangan Khas bermula 9 Disember 2001,” katanya lagi.
Menurut Ayob, sepanjang tempoh 2000 hingga 2025, sebanyak sembilan serangan bom bunuh diri direkodkan di Indonesia melibatkan kumpulan seperti JI dan Jamaah Ansharut Daulah (JAD), dengan 32 pengebom berani mati mengorbankan 296 nyawa serta mencederakan lebih 976 mangsa.
Beliau turut berkata, serangan bunuh diri bukan hanya digunakan atas nama agama, sebaliknya pernah dilakukan oleh kumpulan berfahaman Marxist, sekular dan nasionalis, malah dalam sejarah peperangan seperti serangan kamikaze tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua dan tindakan kumpulan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka.
“Sehubungan itu, pemantauan berterusan terhadap kumpulan ekstremis yang mengeksploitasi agama adalah amat penting bagi memastikan keselamatan dan keharmonian negara terus terpelihara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














