JENAYAH & MAHKAMAH

Tukang masak maut ditikam gara-gara makanan tidak sedap

BUKIT MERTAJAM – Seorang tukang masak wanita warga Myanmar maut ditikam selepas berlaku pertengkaran dengan seorang pelanggan yang mendakwa makanan dimasaknya tidak sedap dalam kejadian di Lorong Bukit Juru, di sini malam tadi.

Insiden yang berlaku pada pukul 9 malam di sebuah restoran ala Thailand itu menyebabkan mangsa yang berusia 40-an disahkan pasukan paramedik meninggal dunia di lokasi kejadian.

Suami mangsa, juga seorang warga Myanmar mengalami kecederaan di badan, manakala seorang lagi lelaki iaitu rakan suspek turut cedera akibat ditikam dalam insiden tersebut, memetik laporan Buletin TV3.

Difahamkan, suspek yang merupakan warga Myanmar itu dan beberapa rakannya pergi ke restoran berkenaan untuk makan pada pukul 8.30 malam.

Mereka yang dipercayai mabuk tidak berpuas hati dengan makanan dihidangkan.

Semua lelaki yang terbabit bertengkar dengan mangsa dan suaminya sebelum wanita itu mengarahkan mereka meninggalkan premis itu.

Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka yang berusia 30-an, dikatakan menghubungi abangnya sebelum kembali ke restoran dan menikam mangsa dengan pisau sehingga mati.

Tindakan pantas polis akhirnya membawa kepada penangkapan suspek dan abangnya berhampiran tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat, manakala dua mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Suspek dipercayai mabuk. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button