AMRENCANA

Krisis Sudan: Apabila sekutu menjadi seteru

KRISIS Sudan telah lama bermula semenjak tercetusnya perang saudara pada 15 April 2023.

Hal ini berlaku berpunca daripada perebutan kuasa antara dua angkatan tentera yang sebelumnya merupakan sekutu iaitu Sudanese Armed Force (SAF) yang juga dikenali sebagai tentera kerajaan Sudan dan dipimpin oleh Jeneral Abdel Fattah Al-Burhan manakala pemimpin bagi pasukan Rapid Support Forces (RSF) ialah Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo yang dikenali sebagai Hemedti.

Pada asalnya mereka pernah bersekutu dalam satu persepakatan bagi menggulingkan pemerintahan Omar Al-Bashir pada tahun 2019. Namun, hubungan mereka retak apabila SAF cuba menyerahkan kuasa pemerintahan kepada warga sipil dan menggabungkan RSF ke dalam Angkatan Darat Nasional.

Tindakan Burhan itu atas desakan rakyat yang ke arah pro-demokrasi supaya kuasa pemerintahan diserahkan kepada orang awam melalui pilihan raya dan kerjasama Persatuan Profesional Sudan yang menyeru kepada masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar tidak mengiktiraf kerajaan pimpinan tentera di Sudan.

Walaubagaimanapun, Hemedti menolak keputusan tersebut kerana takut menggugat kedudukannya dan kehilangan kekuasaan ke atas ekonomi besar yang mereka miliki. Oleh hal yang demikian, talian internet telah disekat selepas itu bagi menangani isu ketegangan tersebut dan SAF sendiri juga sebenarnya ingin menjaga kuasa dan kedudukan kelas kepimpinan mereka sehingga mengakibatkan perang saudara tercetus antara dua angkatan tentera itu.

Perang ini telah menghancurkan negara Sudan, mengorbankan banyak nyawa dan menimbulkan krisis kemanusiaan yang terbesar di dunia menururt Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Rapid Support Forces (RFS) pada asalnya tertubuh atas dukungan Presiden Omar Al-Bashir yang menghulurkan dana dan senjata kepada mereka sebagai tentera umpahan yang diketuai oleh Janjaweed dalam konflik yang melanda di Darfur pada awal 2000-an.

Ini bagi mengaburi mata dunia dan menutupi dalam sebenarnya bagi peperangan tersebut. Akan tetapi, Omar Al-Bashir tetap tertuduh melakukan genosida terhadap kelompok etnik Afrika bukan Arab yang mengakibatkan sekitar 300 000 orang terkorban.

Pasukan RFS sememangnya dikenali dengan sifat kejam dan pro-pemerintah ketika itu namun akhirnya mereka bersekutu dengan pasukan SAF dalam penggulingan pemerintahan Omar Al-Bashir. Selepas itu, mereka bermusuh dan berperang antara satu sama lain bagi menjaga kepentingan masing-masing.

Rentetan itu, perang tersebut masih belum selesai dan berlarutan hingga akhir Oktober 2025 baru-baru ini.

Dunia dikejutkan dengan laporan pembunuhan besar-besaran di wilayah El-Fasher, ibu negara Darfur Utara, selepas pasukan Rapid Support Force (RSF) telah berjaya menawan sepenuhnya wilayah tersebut daripada tentera kerajaan Sudan (SAF).

Menurut laporan Al Jazeera, warga sipil di wilayah itu telah mengalami pengepungan selama 18 bulan melalui sekatan ke atas segala jenis bantuan berbentuk bekalan makanan, minuman serta ubat-ubatan sehingga menyebabkan krisis kemanusiaan semakin parah dan angka korban yang meningkat dalam sekitar 1 500 warga sipil tertewas.

Pada hakikatnya, Sudan merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber ekonomi seperti petroleum dan emas. Oleh yang demikian, perang saudara yang berlaku di Sudan bukannya suatu perang saudara yang biasa malah ianya merupakan campur tangan pihak negara asing yang berkuasa besar di dunia.

Hal ini kerana negara asing tersebut memiliki kepentingannya yang tersendiri dalam mendapatkan hasil bumi di Sudan. Dengan ini, mereka sanggup memberi sokongan dana dan bekalan senjata kepada salah satu pasukan tentera tersebut. Ini menyebabkan dunia berdiam sepi dan kurang memberi perhatian terhadap krisis yang melanda Sudan.

Meskipun begitu, kita sebagai umat Islam perlu menghulurkan bantuan dan menyuarakan penderitaan yang dialami oleh rakyat Sudan sama seperti di Palestin. Janganlah kita mengabaikan mereka sedangkan mereka sangat memerlukan kita.

Nasib mereka semakin parah dalam pergelutan kuasa antara dua angkatan tentera yang hanya mementingkan kedudukan dan kekuasaan masing-masing tanpa mempedulikan nasib menimpa rakyat mereka. Di samping itu, kita juga dapat mengambil iktibar melalui krisis ini bahawa kesatuan sesuatu bangsa itu sangat penting dalam mengukuhkan kedudukan sesebuah negara dan bangsa bagi menjamin kestabilan ekonomi dan keamanan negara dari generasi ke generasi.

ARTIKEL OLEH

Nur Izzah Sumaiyyah Mohd Razi

Nur Izzah Sumaiyyah Mohd Razi

Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Jabatan Dakwah & Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button