JAS anjur Bengkel Siasatan Pembakaran Terbuka Zon Timur
KUALA TERENGGANU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui Bahagian Penguatkuasa telah menganjurkan Bengkel Penerangan Kaedah Siasatan Pembakaran Terbuka kepada Agensi-Agensi yang Diwakilkan Kuasa (Zon Timur) bertempat di The Grand Puteri Hotel, di sini baru-baru ini.
Bengkel tersebut bertujuan memberi penerangan kepada agensi terlibat mengenai Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Perwakilan Kuasa kepada Jabatan Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Perbadanan) 2025 yang telah diwartakan selain memperincikan kaedah dan prosedur siasatan pembakaran terbuka yang digunapakai oleh JAS.
“Penganjuran bengkel ini juga bertujuan menyeragamkan pelaksanaan siasatan kes pembakaran terbuka dalam kalangan agensi yang telah diwakilkan kuasa agar tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih teratur dan berkesan,” kata JAS dalam kenyataan di media sosial hari ini.
Bengkel tersebut disertai oleh wakil daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Sepanjang sesi berkenaan, para peserta didedahkan kepada pelbagai aspek penting dalam siasatan termasuk kaedah pengumpulan bukti, penyediaan laporan dan kertas siasatan serta perkongsian kes-kes mahkamah bagi meningkatkan kefahaman terhadap pelaksanaan tindakan penguatkuasaan di lapangan.
“Diharap bengkel seumpama ini dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penguatkuasaan selain memperkukuh kerjasama antara agensi dalam usaha membanteras aktiviti pembakaran terbuka demi memelihara kualiti udara dan kelestarian alam sekitar,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








