Pegawai tadbir rugi RM220,000 diperdaya sindiket menyamar pegawai bank, polis
KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai tadbir kerugian RM220,000 selepas diperdaya sindiket phone scam yang menyamar sebagai pegawai Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) sebuah bank dan anggota polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 31 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada pukul 3.15 petang semalam selepas menyedari ditipu.
Beliau berkata, kejadian bermula pada 3 September lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya pegawai AMLA dan menuduh mangsa terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram.
Panggilan itu kemudiannya disambung kepada seorang lagi individu yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Khairudin dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, kononnya untuk mengambil keterangan lanjut.
“Mangsa dimaklumkan kononnya dia terikat dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) dan diarahkan mendedahkan semua maklumat akaun bank termasuk Tabung Haji dan ASB, selain memaklumkan jumlah simpanan,” katanya memetik laporan Metro Online.
Mangsa turut diarahkan menghubungi suspek setiap kali masuk waktu solat dan diberitahu wang simpanannya disyaki terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.
Menurut Azli, sindiket kemudian memperkenalkan seorang lagi suspek yang mengaku sebagai Asisten Superintendan Rashid, kononnya akan membantu menyelesaikan kes hingga ke mahkamah.
Mangsa diarahkan memindahkan RM30,000 daripada akaun ASB dan Tabung Haji ke akaun kononnya milik juruaudit Bank Negara, sebelum diminta membuat pinjaman peribadi sebanyak RM200,000 bagi tujuan “semakan lanjut”.
“Antara 8 hingga 14 Oktober, mangsa membuat tujuh transaksi berjumlah RM190,000 ke dalam akaun diberikan suspek. Dia hanya sedar ditipu selepas gagal menghubungi kedua-dua individu berkenaan,” katanya lagi.
Azli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, manakala wang yang digunakan mangsa terdiri daripada simpanan sendiri dan pinjaman bank.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








