Bekas pengarah kerugian RM525,000, ditipu skim pelaburan dalam talian
KUALA TERENGGANU – Seorang pesara berusia 71 tahun kerugian lebih RM525,000 selepas menjadi mangsa skim pelaburan dalam talian tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang juga bekas pengarah sebuah jabatan kerajaan mula terjerat dengan sindiket berkenaan sejak 23 Mei lalu.
“Mangsa hanya berurusan secara dalam talian dan tidak pernah bersemuka dengan mana-mana individu berkaitan pelaburan itu.
“Beliau diarahkan membuka akaun melalui satu aplikasi sebelum membuat lebih 100 transaksi ke dalam akaun tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azli, mangsa turut didorong untuk membuat pindahan mata wang kripto bitcoin ke dalam akaun aplikasi miliknya sebelum diminta mengalihkan dana itu ke akaun lain yang tidak dikenalinya.
“Antara 20 hingga 27 Ogos lalu, mangsa membuat tujuh transaksi pindahan wang ke dalam satu akaun bank. Dia dijanjikan keuntungan mencecah AS$500,000, (RM2.1 juta) namun akhirnya mengalami kerugian besar,” katanya.
Beliau berkata, semua wang pelaburan itu merupakan simpanan persendirian mangsa.
Mangsa yang menyedari dirinya ditipu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 6.35 petang semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








