Pegawai bank rugi lebih RM240,000 terpedaya beli pikap secara dalam talian
KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pegawai bank untuk memiliki sebuah pikap tidak kesampaian apabila dia menjadi mangsa penipuan skim pembelian kenderaan dalam talian sehingga mengalami kerugian mencecah RM241,700.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 52 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 9.37 pagi semalam selepas menyedari ditipu.
Menurutnya, kejadian bermula pada 4 Julai lalu apabila mangsa ternampak satu iklan jualan kenderaan terpakai di aplikasi Facebook yang beralamat di Pelabuhan Barat, Port Klang, Selangor.
“Mangsa berminat untuk membeli sebuah Toyota Hilux 2.4 keluaran 2017. Dia kemudian menekan pautan iklan dan dibawa ke aplikasi WhatsApp kononnya untuk urusan lanjut pembelian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Azli berkata, mangsa kemudian dihubungi oleh seorang lelaki sebelum menyerahkan salinan kad pengenalan serta membuat bayaran kepada individu berkenaan.
Difahamkan, dalam tempoh 9 hingga 21 Julai, mangsa melakukan sebanyak 40 transaksi ke dalam 18 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM241,700.
“Penjual turut meminta bayaran tambahan sebanyak RM31,000 untuk kos ‘cap jari’ Kastam. Namun mangsa mula curiga dan enggan membuat bayaran lanjut,” katanya.
Setakat ini, mangsa yang menggunakan wang simpanan dan pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu masih belum menerima kenderaan yang dijanjikan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








