Pegawai bank rugi RM87,650 terpedaya jerat cinta ‘kontraktor Australia’
KUALA LUMPUR – Seorang pegawai bank wanita kerugian RM87,650 selepas menjadi mangsa penipuan cinta dalam talian oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai kontraktor dari Australia.
Mangsa berusia 39 tahun yang menetap di Bangsar South itu dipercayai mula berkenalan dengan suspek menggunakan nama ‘David Cheng Lee’ menerusi aplikasi janji temu Coffee Meets Bagel pada 19 Mac lalu.
Lelaki terbabit mendakwa dirinya warganegara Australia berketurunan Cina serta sedang mengendalikan projek loji pembetungan di Kota Bharu, Kelantan sebagai kontraktor persendirian.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asistan Komisioner Hoo Chang Hook berkata, selepas berjaya menjalinkan hubungan rapat dan meraih kepercayaan mangsa, suspek mula menggunakan pelbagai alasan bagi mendapatkan wang.
Menurutnya, antara alasan diberikan termasuk kerosakan jentera, kekurangan dana bagi pembelian diesel, kos makanan pekerja serta pembelian bahan kimia untuk projek.
“Akibat terpedaya, mangsa melakukan sebanyak 16 transaksi kewangan menggunakan akaun Maybank miliknya, merangkumi 15 pindahan wang secara dalam talian dan satu deposit tunai.
“Keseluruhan wang berjumlah RM87,650 itu dipindahkan secara berperingkat antara 1 hingga 27 April lalu ke lima akaun bank berbeza yang dipercayai akaun keldai milik warga asing,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Pihak polis kini giat mengesan suspek yang menggunakan dua nombor telefon tempatan serta mengenal pasti pemilik akaun bank terlibat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








