JENAYAH & MAHKAMAH

Warga emas buta rugi RM431,742 akibat penipuan panggilan telefon

KUALA TERENGGANU – Seorang pesara cacat penglihatan berusia 73 tahun terpaksa menanggung kerugian hampir setengah juta ringgit selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon atau phone scam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada pukul 1.58 petang semalam selepas menyedari dirinya ditipu.

Kejadian bermula pada 24 Jun lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa dirinya wakil sebuah syarikat insurans.

Scammer
Gambar hiasan.

Individu itu memberitahu terdapat tuntutan rawatan di sebuah hospital di Damansara menggunakan nama mangsa.

“Mangsa menafikan perkara itu namun sindiket kemudian mengarahkannya membuat laporan polis kononnya kerana nama mangsa disalahgunakan.

“Talian mangsa kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai polis,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Mangsa kemudian diminta membuat laporan secara atas talian dan selepas itu diberitahu namanya turut dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram.

Dengan alasan untuk tujuan siasatan, mangsa diarahkan membuka akaun bank baharu dan memasukkan semua wang simpanannya, termasuk wang simpanan isterinya, ke dalam akaun tersebut.

“Disebabkan uzur dan mengalami cacat penglihatan, mangsa meminta isterinya membuka akaun baharu itu.

“Semua wang simpanan mereka kemudian dimasukkan ke dalam akaun berkenaan,” jelas Azli.

Bagaimanapun, mangsa diarahkan supaya tidak menggunakan akaun baharu itu dalam masa terdekat kononnya bagi memastikan wang berkenaan dapat dikembalikan selepas siasatan selesai.

Pada 25 September lalu, mangsa akhirnya menceritakan perkara tersebut kepada anaknya.

Selepas membuat semakan, barulah mereka menyedari terdapat beberapa transaksi pindahan wang secara berperingkat dari 6 Julai hingga 14 Ogos berjumlah RM431,742, ke akaun pihak tidak dikenali.

“Mangsa mengesyaki dirinya ditipu dan mengalami kerugian besar hasil wang simpanannya bersama isteri. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” kata Azli.

Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap panggilan telefon mencurigakan, tidak mendedahkan maklumat perbankan serta segera merujuk kepada pihak berkuasa jika menerima sebarang panggilan yang meragukan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button