BERITA SEMASA

JAS henti operasi kilang plastik tanpa kelulusan di Simpang Ampat

SIMPANG AMPAT – Sebuah premis pemprosesan plastik yang beroperasi tanpa kelulusan sah di sini, diarahkan menghentikan operasi serta-merta oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang selepas didapati berpotensi menyebabkan pencemaran.

Tindakan tegas itu diambil susulan aduan orang awam berhubung aktiviti mencurigakan di premis berkenaan yang disyaki menjalankan pemprosesan plastik.

“Hasil pemeriksaan pasukan penguat kuasa mendapati, premis terbabit merupakan kilang yang disewakan dan digunakan bagi aktiviti cucian serta pemprosesan barangan plastik termasuk pengoperasian mesin basuhan tanpa kelulusan JAS.

“Sehubungan itu, Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dikenakan serta-merta di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menghentikan operasi yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar,” kata JAS dalam kenyataan di Facebook.

Tambahnya, persampelan rasmi turut dijalankan sebelum sampel dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut.

kilang plastik
Antara peralatan di premis yang beroperasi tanpa kelulusan tersebut.

Sehubungan itu, JAS turut mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 akta sama kepada pemilik premis bagi memastikan langkah pembetulan dilaksanakan segera.

Tambahnya, pengoperasian semula kelengkapan tersebut hanya akan dibenarkan setelah pihak premis mengambil langkah pembetulan dan mematuhi sepenuhnya keperluan yang ditetapkan oleh JAS.

“Sebarang ketidakpatuhan terhadap undang-undang alam sekitar tidak akan dikompromi.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terjamin,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pencemaran digalakkan menyalurkan aduan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel aduan_k@doe.gov.my atau portal e-Aduan JAS.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button