Zainul Rijal persoal kenyataan MB Selangor isu rumah ibadat tidak sah
KUALA LUMPUR – Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar tampil mempersoalkan kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung isu pencerobohan tanah dan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan di negeri itu yang menurutnya berpotensi bercanggah dengan prinsip perlembagaan serta undang-undang tanah sedia ada.
Beliau yang juga Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia berkata, salah satu elemen mendidik adalah membangkitkan beberapa persoalan sama ada Menteri Besar menyedari implikasi kenyataan tersebut terhadap hak pemilikan tanah yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Zainul Rijal berkata, kenyataan berkenaan didakwa bertentangan dengan hak yang dijamin Perlembagaan berkaitan pemilikan serta hak menikmati pemilikan tanpa gangguan yang menyalahi undang-undang.
Menurutnya lagi, ia juga bercanggah dengan peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara berhubung penggunaan tanah dan isu pencerobohan, selain dilihat menafikan hak tuan tanah.
Beliau turut menyatakan bahawa pendirian tersebut tidak selari dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini mengesahkan kewajipan serta kaedah pengendalian hak berkaitan pemilikan tanah.
Selain itu, katanya, terdapat juga pendirian pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini yang menyatakan bahawa tuan tanah perlu menyelesaikan sendiri isu pencerobohan di atas tanah milik mereka.
“Pihak polis dan pihak berkuasa tempatan juga didakwa tidak mengambil tindakan walaupun laporan polis dan aduan telah dibuat.
“Adakah kenyataan ini seolah-olah mengiktiraf sesuatu yang tidak mengikut undang-undang dan pada masa sama meletakkan beban kepada pihak yang mematuhi undang-undang?” soalnya dalam kenyataan tersebut.
Terdahulu, Amirudin dilaporkan berkata, semua pihak tidak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah sekiranya berlaku pencerobohan tanah termasuk melibatkan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan di Selangor.
Menurut beliau, arahan itu adalah berdasarkan peruntukan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkaitan tanah.
Mengulas insiden perobohan sebuah kuil di Rawang, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan dan perkara itu perlu melalui proses undang-undang sewajarnya.
BACA JUGA:
Amirudin berkata, kejadian tersebut mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat dan perlu ditangani segera bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menggugat keharmonian negeri atas faktor kaum dan agama.
Menurutnya, terdapat dua isu utama melibatkan rumah ibadat tidak sah iaitu yang didirikan di atas tanah milik kerajaan negeri dan yang dibina di atas tanah milik persendirian.
Bagi rumah ibadat di atas tanah kerajaan negeri, beliau mengarahkan supaya prosedur sedia ada dipertingkatkan termasuk tindakan segera oleh PBT serta pengukuhan Tatacara Pengendalian Piawai Jawatankuasa LIMAS.
Manakala bagi rumah ibadat di atas tanah persendirian, proses sedia ada memerlukan pemilik tanah melantik peguam untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum sebarang pengosongan atau perobohan boleh dilaksanakan.
Kenyataan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Panglima Markas 11 Briged, Yang Dipertua Majlis serta pegawai daerah berkaitan tahap keselamatan awam negeri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








