Ketetapan pembinaan rumah ibadat, Kerajaan Persekutuan akan bincang dengan kerajaan negeri
SHAH ALAM – Kerajaan Persekutuan akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri termasuk yang diterajui pembangkang berhubung ketetapan pembinaan rumah ibadat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu kerajaan negeri mengetepikan perbezaan politik bagi membolehkan pengurusan isu pembinaan rumah ibadat dibuat mengikut dasar yang jelas dan standard.
“Mengenai soal rumah ibadat, kuil dan sebagainya, saya sudah membuat ketetapan di bawah Kerajaan Persekutuan, selain akan berunding dengan semua kerajaan negeri.
“(Perbincangan) ini termasuk kerajaan negeri diterajui pembangkang yang kadang-kadang riuh rendah cakap soal perjuangan mereka tetapi kuil haram lebih banyak di negeri mereka.
“Tidak mengapalah, kita ketepikan perbezaan politik dan Kerajaan Persekutuan dalam merangka keputusan, negara ini mesti terus maju dengan dasar jelas.
“Marilah bersama melaksanakannya sebaik mungkin, insya Allah,” katanya ketika berucap merasmikan Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor (DASA) 2026, di sini malam tadi.
Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim dan Pengerusi DASA merangkap Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Zainal Mohd Jais.
Turut hadir, Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Datuk Dr Zurinah Hassan; serta Tokoh Sejarawan, Datuk Prof Emeritus Dr Abdullah Zakaria.
Anwar dalam ucapannya turut juga mengakui agak lewat memuktamadkan ketetapan mengenai pengurusan rumah ibadat di negara ini, selain tempoh lebih dua tahun diperuntukkan bagi melengkapkan perincian berkenaan.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada ketetapan (mengenai rumah ibadat) akhirnya di negara ini. Semua kaum dan agama mesti tunduk serta terima kenyataan yang Malaysia ini negara hukum.
“Mahu duduk di sini (Malaysia), ikut peraturan. Kalau betul kita anak Malaysia yang merdeka dan tunduk kepada prinsip negara hukum serta undang-undang, kenapa diberikan pengecualian?
“Kalau mahu beribadat mesti ikut peraturan dan (tiada pengecualian diberikan) kerana kepentingan serta pertimbangan politik dan pilihan raya,” katanya lagi.
Mengenai pengoperasian ketetapan itu, Perdana Menteri mengakui pelaksanaannya mungkin mengambil sedikit masa tetapi tidak mahu terus bertolak ansur kepada perkara tidak diperlukan.
“Ini (pelaksanaan ketetapan rumah ibadat) mungkin mengambil sedikit masa tetapi (pengoperasiannya) tidak mungkin (direalisasikan) jika kita masih terus dengan tolak ansur yang tiada kesudahan.
“Tentu tolak ansur ada kekuatan dan kebaikannya kerana istilah berkenaan adalah istilah baik, tetapi bukan untuk merobek sendi dan kekuatan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








