Tapak sampah haram di Dengkil kini cecah keluasan 20 padang bola
DENGKIL – Dianggarkan lebih 35 ekar termasuk tanah milik kerajaan dan persendirian di daerah ini bertukar menjadi tapak pembuangan sampah berskala besar akibat kegiatan pengumpulan sampah haram yang semakin berleluasa.
Sebagai perbandingan, tanah seluas itu mampu menempatkan kira-kira 20 buah padang bola.
Isu tanah yang diteroka secara haram itu sebelum ini pernah beberapa kali dilaporkan Malaysia Tribune.
Hari ini kami berjaya masuk ke tapak pembuangan sampah berkenaan dan melihat sendiri operasi di tapak yang dikatakan semakin membesar sejak lebih setahun itu.
Serbuan wartawan Malaysia Tribune, Nik Shamira dan Haziq Hakimi ke lokasi yang terletak tidak jauh dari penempatan penduduk itu dikelolai pasukan penguatkuasa Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) bersama pegawai dari beberapa pihak berkuasa lain.
Tinjauan pasukan kami yang menaiki kenderaan pacuan empat roda MP Sepang mendapati terdapat banyak timbunan sisa sampah terdiri daripada sampah domestik, komersial dan perindustrian seperti serpihan pembinaan, plastik, bahan makanan yang telah rosak dan peralatan lusuh.

Beberapa bahagian di tapak pelupusan sampah itu juga menampakkan kesan pembakaran terbuka yang dipercayai dilakukan secara berkala, bagi mengurangkan jumlah timbunan sampah di situ.

Asap hitam juga dilihat menyelimuti udara di kawasan itu, disertai bau menyengat menandakan kemungkinan wujudnya pencemaran bahan toksik yang sedang terbakar di kawasan terbabit.
Penolong Pengarah Penguat Kuasa MP Sepang, Mohd Azizi Kholid ketika ditemui berkata, serbuan ke tapak pelupusan berskala besar itu melibatkan tiga lokasi berasingan, sekali gus membongkar aktiviti pembuangan sisa yang dipercayai telah lama beroperasi secara terancang.
Menurut Azizi, lokasi pertama melibatkan kawasan seluas 36.6 hektar, lokasi kedua seluas 1.17 hektar manakala saiz sebenar bagi lokasi ketiga masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Beliau berkata, tindakan yang dilakukan itu adalah hasil daripada aduan orang ramai mengenai pencemaran bau di kawasan itu, sebelum ini.
“Kami dapati ketiga-tiga lokasi yang dikenal pasti ini tidak pernah diwartakan sebagai tapak pelupusan sah. Jadi, tindakan segera akan diambil terhadap pemilik tanah dan pihak yang terlibat.
“Kami tidak akan berkompromi dalam kesalahan seumpama ini dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi.
Tambah Azizi, serbuan masuk ke tapak pelupusan itu pada hari ini turut memberi tumpuan kepada status pemilikan dan guna tanah dalam penilaian untuk menentukan tindakan lanjut yang boleh dikenakan terhadap pemilik.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan sebarang kenyataan rasmi berhubung tindakan lanjut perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Yang Dipertua MP Sepang kerana ia melibatkan beberapa pihak antaranya jabatan teknikal seperti Jabatan Perancang Bandar, Kejuruteraan, Bangunan serta memerlukan ulasan daripada Pegawai Undang-Undang MP Sepang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








