Sungai Perak dekat Gerik bertukar kebiruan, JAS siasat dakwaan pencemaran logam timah
GERIK – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak kini menjalankan siasatan berhubung dakwaan pencemaran Sungai Perak berhampiran Jambatan Kampung Sungai Papan yang dilaporkan bertukar warna kebiruan, dipercayai akibat larutan logam timah.
Pengarah JAS Perak, Datuk Dr. Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, sampel air di lokasi terbabit telah diambil dan dihantar ke makmal Jabatan Kimia Malaysia petang semalam untuk dianalisis.
Menurut beliau, hasil laporan dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu bergantung kepada proses makmal.
“Perubahan warna air sungai menunjukkan kemungkinan kemasukan bahan pencemar, namun jenis dan tahap pencemaran hanya dapat disahkan selepas analisis kimia selesai,” katanya memetik laporan Metro Online.
Terdahulu, tular di media sosial gambar Sungai Perak di kawasan itu berwarna kebiruan, dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan di hulu sungai.
Walaupun kelihatan cantik, ia didakwa bertoksik dan berbahaya kepada hidupan akuatik serta manusia termasuk berisiko menyebabkan kerosakan organ, gangguan saraf dan kanser.
Beberapa video turut menunjukkan ikan mati timbul di permukaan sungai di lokasi berkenaan.
Mohammad Ezanni menegaskan, JAS Perak sedang mengenal pasti punca sebenar pencemaran, dan sebarang tindakan penguatkuasaan hanya akan diambil selepas sumber pencemaran dikenal pasti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








