Trump sahkan operasi rahsia CIA di Venezuela, ancam serangan baharu
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan laporan bahawa beliau telah memberi kebenaran kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk melaksanakan operasi rahsia di Venezuela, selain mempertimbangkan serangan baharu terhadap kartel dadah di rantau itu.
Menurut laporan New York Times, kebenaran itu membolehkan CIA menjalankan operasi secara unilateral atau bersama aktiviti ketenteraan AS di negara Amerika Selatan tersebut.
Kenyataan itu disampaikan Trump dalam sidang media di Rumah Putih semalam bersama Pengarah FBI, Kash Patel dan Peguam Negara, Pam Bondi, selepas beliau ditanya mengenai laporan berkenaan.
“Saya mengizinkan atas dua sebab sebenarnya,” katanya.
“Pertama, Venezuela telah menghantar banduan mereka ke Amerika Syarikat dan kedua kita berdepan kemasukan besar-besaran dadah dari Venezuela, terutamanya melalui laut. Tapi kali ini, kita juga akan hentikan melalui darat.”
Kenyataan terbuka itu dianggap luar biasa, memandangkan operasi CIA lazimnya dijalankan secara rahsia dan jarang diakui oleh Presiden AS.
Sebelum ini, tentera AS dilapor melancarkan sekurang-kurangnya lima serangan udara terhadap bot disyaki membawa dadah di Laut Caribbean dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mengorbankan 27 individu.
Serangan terbaharu dilaporkan berlaku pada Selasa, apabila sebuah bot berhampiran pantai Venezuela diserang, menyebabkan enam maut.
Trump menerusi platform media sosialnya, Truth Social mendakwa tindakan itu berasaskan maklumat risikan bahawa kapal berkenaan ‘terlibat dalam penyeludupan dadah dan dikaitkan dengan rangkaian narkoteroris antarabangsa’.
Bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi pakar hak asasi manusia lantikannya, menyifatkan tindakan ketenteraan AS itu sebagai ‘pembunuhan di luar proses undang-undang’.
Sementara itu, kerajaan pimpinan Presiden Nicolas Maduro mengecam tindakan berkenaan dan menuduh Washington cuba mencetuskan ketegangan serta menggugat kedaulatan Venezuela.
Sebagai reaksi, Maduro mengarahkan latihan ketenteraan besar-besaran di kawasan Petare dan Miranda, selain menggerakkan tentera, polis serta militia awam bagi mempertahankan negara.
“Kita akan menang dengan keamanan,” katanya menerusi mesej di Telegram.
Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada CIA telah memulakan operasi di Venezuela atau sekadar menyiapkan pelan tindakan sebagai langkah berjaga-jaga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








