RUU URA ditangguh: Kor Ming akur keputusan Speaker, Ahli Parlimen bersorak
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) yang sepatutnya diteruskan perbahasannya pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15, hari ini ditangguhkan ke sesi akan datang.
Keputusan itu dibuat selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan mengikut peraturan mesyuarat ketika Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sedang membentangkan sebahagian bacaan RUU tersebut.
Johari menjelaskan, usul yang dikemukakan oleh Kor Ming di bawah Peraturan Mesyuarat 12(1) tidak menyebut bahawa rang undang-undang tersebut perlu dihabiskan pada persidangan kali ini.
“Jadi saya terikat dengan peraturan mesyuarat 5.30 petang. Oleh itu, Menteri boleh sambung dalam persidangan akan datang,” kata Johari.
Keputusan itu disambut sorakan beberapa Ahli Parlimen, sementara Kor Ming menzahirkan penghormatan kepada keputusan berkenaan.
“Terima kasih YB Speaker. Saya sebagai seorang yang sentiasa menghormati dewan yang mulia ini, saya akur dan hormat bahawa kita akan teruskan pada sesi akan datang,” katanya.
Terdahulu isu melibatkan RUU URA itu mencetuskan bantahan daripada pelbagai pihak selain satu himpunan turut diadakan di hadapan pintu masuk Parlimen minggu ini yang menggesa supaya kelulusannya tidak diteruskan.
Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 yang berlangsung selama 24 hari sejak 21 Julai hingga 28 Ogos 2025 menyaksikan Dewan Rakyat meluluskan Rancangan Malaysia Ke-13, Usul Laporan Ketua Audit Negara, Usul Laporan SUHAKAM 2023, sebanyak 19 rang undang-undang serta lima usul kementerian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








