BERITA SEMASA

Buku kanak-kanak “Zul dan Kawan-Kawan” terbit dalam 10 bahasa, raih Malaysia Book of Records

PETALING JAYA – Buku kanak-kanak bertajuk “Zul dan Kawan-Kawan” yang membincangkan isu pengantunan seksual dalam kalangan kanak-kanak dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis di N Space Ventures, Damansara Intan, baru-baru ini.

Penulisnya, Mohamed Nazri Prem Nasir, menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai individu pertama di Malaysia yang menerbitkan buku kesedaran mengenai pengantunan seksual kanak-kanak dalam sepuluh bahasa.

Majlis pelancaran itu telah dirasmikan oleh Exco Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Negeri Selangor, Jamaliah Jamaluddin, yang hadir mewakili Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, selaku penaja utama permohonan pengiktirafan MBOR tersebut.

Mohamed Nazri Prem Nasir, menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai individu pertama di Malaysia yang menerbitkan buku kesedaran mengenai pengantunan seksual kanak-kanak dalam sepuluh bahasa.
Mohamed Nazri Prem Nasir, menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai individu pertama di Malaysia yang menerbitkan buku kesedaran mengenai pengantunan seksual kanak-kanak dalam sepuluh bahasa.

Jamaliah memuji usaha penulis sebagai satu langkah yang berani dan wajar dicontohi dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada bahaya yang semakin membimbangkan dalam masyarakat.

“Ia adalah satu usaha yang sangat bermakna, menggunakan penceritaan untuk menyampaikan mesej penting kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan pada masa sama melindungi anak-anak kita,” katanya lagi.

Buku tersebut yang mengandungi lima cerita pendek mengetengahkan watak seperti Zri, Aiman, Akif, Dina dan Aisha.

Ia disasarkan kepada kanak-kanak, ibu bapa, guru serta pekerja sosial sebagai panduan mengenal pasti, bertindak balas dan melaporkan sebarang bentuk tingkah laku tidak wajar yang mungkin berlaku ke atas kanak-kanak.

Antara mesej utama yang disampaikan termasuk mengenal pasti tanda-tanda awal pengantunan seksual, mempercayai naluri dan berani berkata “tidak”, kepentingan berkomunikasi dengan orang dewasa yang dipercayai serta menjaga keselamatan di ruang digital.

Buku ini diterbitkan dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Tamil, Hindi, Bahasa Indonesia, Vietnam, Burma (Myanmar), Thai dan Khmer (Kemboja), menjadikannya antara buku kanak-kanak tempatan paling luas dari segi capaian bahasa.

Mohamed Nazri, yang kini menuntut dalam jurusan undang-undang di Universiti Malaya, turut aktif sebagai pemimpin belia dan kini berkhidmat dalam Unicef Malaysia Young People Advisory Board serta Sidang Belia Wilayah Persekutuan. Beliau juga merupakan pengasas NGO Bina Malaysia yang memfokuskan kepada pendidikan dan pemerkasaan komuniti.

Antara pengiktirafan yang pernah diterimanya termasuk Anugerah Advokasi Pendidikan oleh RYTHM Foundation, Pingat Jasa Cemerlang Wilayah Persekutuan dan menjadi finalis Anugerah Perdana Belia Negara peringkat Wilayah Persekutuan.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan tayangan video di sebalik tabir penghasilan buku, sesi pengenalan bersama penulis serta penyerahan sijil Malaysia Book of Records.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button