BISNES & EKONOMIPMX

Pelaburan Google RM61 bilion bukti keyakinan terhadap kestabilan Malaysia – Anwar

PAYA RUMPUT – Kestabilan politik, keharmonian masyarakat berbilang kaum dan dasar ekonomi yang jelas menjadi antara faktor utama Malaysia berjaya menarik pelaburan Google bernilai RM61 bilion, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, keputusan syarikat teknologi gergasi dari Amerika Syarikat itu memilih Malaysia selepas meneliti beberapa negara lain, termasuk di rantau ASEAN, membuktikan keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara.

Menurutnya, pelaburan berjumlah AS$15 bilion itu turut dijangka mewujudkan kira-kira 30,000 peluang pekerjaan, dengan 19,000 daripadanya sudah tersedia.

“Semalam dia datang KL. Google Amerika Syarikat masuk, bukan saya umum, bukan saya umumkan. Ketua Google umum masuk AS$15 bilion, RM61 bilion masuk Malaysia.

“Berapa kerajaan? Masalah proses. Buat projek KL dan sebagainya, 30,000 orang dapat kerja. Sudah siap 19,000 orang dapat kerja,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Perdana Melaka Rumah Kita DUN Paya Rumput sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di sini, malam ini.

Baca juga : PRN: Anwar mahu Pakatan Harapan ada suara lebih kuat dalam kerajaan Melaka

Beliau berkata, syarikat berkenaan turut mengambil langkah menyediakan sendiri kemudahan bekalan air dan tenaga bagi menyokong operasi pelaburannya.

Anwar berkata, keyakinan pelabur juga dipengaruhi suasana negara yang aman serta hubungan baik antara masyarakat berbilang kaum, sekali gus membolehkan aktiviti ekonomi berjalan lancar.

Katanya, kerajaan tidak seharusnya mengamalkan pendekatan meminta habuan peribadi daripada pelabur, sebaliknya memastikan setiap pelaburan memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebuah syarikat logistik utama dari Jepun turut melabur RM1.5 bilion di Pelabuhan Klang.

Katanya, projek berkenaan sudah siap dan dijangka memulakan operasi dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

Beliau berkata, syarikat terbabit yang mempunyai kedudukan nombor satu di luar Jepun itu memilih Malaysia berbanding beberapa negara lain selepas menilai potensi pelaburan.

Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan mahu memastikan anak muda tempatan dilengkapi kemahiran dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi maklumat dan pengkomputeran supaya mereka dapat merebut peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Katanya, pembangunan ekonomi negara perlu disertai usaha meningkatkan keupayaan tenaga kerja tempatan agar manfaat pelaburan besar dapat dinikmati rakyat.

“Ini anak-anak kita. Saya mahu anak-anak kita semua pandai dan saya tidak kira Melayu kita jaga, tetapi Cina dan India juga kita jaga,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button