BERITA SEMASA

Tiga Ahli Parlimen mohon sertai prosiding permohonan Anwar rujuk isu imuniti ke Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR – Tiga Ahli Parlimen Perikatan Nasional memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk menyertai prosiding berkaitan permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.

Permohonan itu antaranya membabitkan isu sama ada Anwar mempunyai imuniti daripada tindakan saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, empat tahun lalu.

Kes tersebut dijadual didengar di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain di Mahkamah Tinggi esok termasuk permohonan menangguhkan pendengaran kes saman utama sehingga keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh.

Tiga Ahli Parlimen yang memohon untuk hadir sebagai pemerhati dalam prosiding itu ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN–Larut), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN–Kemaman) dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN–Beluran).

Permohonan itu difailkan semalam melalui e-filing oleh firma guaman Tetuan Wan Jawahir & Takiyuddin yang mewakili ketiga-tiga pemohon.

Ia dibuat berdasarkan kedudukan mereka sebagai Ahli Parlimen yang berkepentingan terhadap isu-isu perundangan berbangkit khususnya membabitkan Perkara 39, 40, 43 dan 128(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Isu perundangan ini adalah berkepentingan awam dan dijangka menjadi perbahasan dalam sidang Parlimen. Oleh itu, Ahli Parlimen terlibat wajar dibenarkan mengikuti prosiding secara rasmi sebagai pemerhati,” menurut firma guaman tersebut dalam permohonan yang difailkan.

Mereka turut memohon agar Tan Sri Azhar Azizan Harun, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Zulkifli Noordin dibenarkan hadir mewakili mereka sebagai peguam pemerhati.

Perkara itu disahkan oleh peguam kepada Muhammed Yusoff, Muhammad Rafique Rashid Ali yang memaklumkan bahawa beliau telah menerima salinan permohonan dan tidak menolak kemungkinan ia akan dikemukakan dalam prosiding esok.

Sebelum ini, Anwar melalui firma guaman Tetuan Zain Megat & Murad telah memfailkan permohonan supaya Mahkamah Persekutuan memutuskan beberapa isu utama perlembagaan termasuk sama ada beliau mempunyai kekebalan bersyarat daripada saman sivil tersebut.

Antara persoalan dikemukakan adalah berkaitan kuasa eksekutif tertinggi, hubungan antara Raja dan Kabinet, pelantikan serta tanggungjawab Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

Dalam afidavit sokongan, Anwar menegaskan bahawa permohonan itu bukan bertujuan melengahkan perbicaraan, sebaliknya bagi memastikan proses kehakiman berjalan adil dan sejajar dengan prinsip Perlembagaan.

Perdana Menteri turut memohon mahkamah meneliti sama ada tindakan saman terhadap beliau boleh dianggap sebagai ancaman kepada kepentingan awam, penyalahgunaan proses atau cubaan menjejaskan kelancaran pentadbiran negara.

Selain itu, beliau meminta Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar haknya untuk mendapat layanan sama rata di sisi undang-undang mengikut Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan serta sama ada beliau layak mendapat perlindungan daripada litigasi berunsur strategik atau bermotif politik sebagaimana dijamin di bawah Perkara 5(1).

Muhammed Yusoff dalam saman yang difailkan mendakwa Anwar telah melakukan serangan seksual terhadapnya pada 2018 sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Beliau turut mendakwa bahawa kejadian itu memberi kesan terhadap kesihatan mentalnya dan menyebabkan beliau menerima tekanan daripada pelbagai pihak yang mempertikaikan tindakannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button