Lawatan presiden Poland buka ruang perkukuh sinergi dua hala – PM Anwar
PUTRAJAYA – Lawatan rasmi Presiden Poland, Andrzej Duda ke Malaysia yang bermula hari ini dijangka membuka ruang ke arah pengukuhan sinergi sedia ada serta meneroka peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerjasama baharu itu termasuk dalam sektor perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, pertanian, sektor halal dan agrokomoditi, pelancongan serta pendidikan.
“Semua ini (kerjasama kedua-dua negara) demi manfaat dan kemajuan bersama kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Baca juga : PM Anwar akhiri lawatan ke Singapura, fokus perkukuh kerjasama strategik
Presiden Duda, yang berada di Malaysia buat kali pertama sejak dilantik sebagai Presiden pada Ogos 2015, disambut oleh Anwar dalam satu upacara sambutan rasmi di Perdana Putra di sini pagi tadi.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan lawatan hari ini amat signifikan dalam usaha memperluaskan kerjasama strategik antara Malaysia dan Poland yang telah terjalin sejak sekian lama.
“Lawatan ini lebih bermakna kerana berlangsung serentak dengan kedudukan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan Poland sebagai Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) bagi separuh pertama tahun 2025.
“Selain itu, ia juga mencerminkan hubungan erat dan mesra yang terjalin antara kedua-dua negara sejak termeterainya hubungan diplomatik pada 1971, berasaskan prinsip saling menghormati,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








