Dua helikopter bertembung berhampiran Everest, seorang pelancong maut
KATHMANDU – Seorang pelancong warga India maut manakala tiga lagi cedera selepas dua helikopter bertembung ketika cuba mendarat di kawasan Pheriche, berhampiran Gunung Everest, Nepal, pagi ini.
Kejadian pada pukul 8.12 pagi waktu tempatan itu membabitkan helikopter milik dua syarikat penerbangan swasta, Fishtail Air dan Air Dynasty yang sedang melakukan penerbangan di kawasan tumpuan pendaki berkenaan.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Vasanth Kumar Balaramudu, 47, manakala dua lagi warga asing, termasuk seorang rakyat New Zealand, serta seorang juruterbang warga Nepal dilaporkan cedera.
Menurut laporan media tempatan, ketiga-tiga mangsa berada dalam helikopter kendalian Fishtail Air, manakala helikopter Air Dynasty membawa muatan kargo.
Dua mangsa yang cedera dilaporkan menerima rawatan di Kathmandu, manakala seorang lagi mendapatkan rawatan di Lukla.
Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal, Mukesh Dangol berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca perlanggaran berkenaan.
Bagaimanapun, maklumat awal menunjukkan kemungkinan berlaku salah komunikasi antara juruterbang ketika kedua-dua pesawat menghampiri kawasan pendaratan.
Kawasan Pheriche yang terletak pada ketinggian kira-kira 4,371 meter dari aras laut merupakan antara lokasi persinggahan popular pendaki sebelum meneruskan perjalanan ke Kem Pangkalan Everest.
Insiden itu berlaku ketika Nepal memasuki musim puncak aktiviti pendakian, yang menyaksikan peningkatan helikopter bagi membawa pendaki dan pelancong, selain membantu memindahkan mereka yang mengalami masalah kesihatan.
Kawasan pergunungan berkenaan tidak mempunyai jaringan jalan raya, sekali gus menjadikan helikopter antara pengangkutan penting bagi operasi pemindahan dan menyelamat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














