BERITA SEMASA

Portal Sekolahku himpun maklumat sekolah seluruh negara

PETALING JAYA – Ibu bapa dan masyarakat kini boleh mendapatkan maklumat rasmi sekolah di seluruh negara dengan lebih mudah menerusi Portal Sekolahku, hasil kerjasama Kementerian Digital (KD) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Portal itu dibangunkan sebagai platform digital berpusat yang menghimpunkan maklumat sekolah, termasuk carian berdasarkan lokasi, profil serta statistik asas institusi pendidikan.

Inisiatif berkenaan membolehkan ibu bapa dan penjaga mendapatkan maklumat berkaitan sekolah dengan lebih pantas dan tepat menerusi satu saluran, sekali gus memudahkan urusan mendapatkan rujukan pendidikan.

Portal Sekolahku diserahkan kepada KPM dalam majlis di Sekolah Kebangsaan Damansara Utama, hari ini, yang disempurnakan bersama olah Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Kementerian Digital dalam kenyataan berkata, pembangunan portal itu diterajui kementerian tersebut menerusi GovTech Malaysia dengan menggabungkan kepakaran teknologi kementerian berkenaan serta KPM mengenai ekosistem pendidikan negara.

“Kerjasama itu turut mencerminkan pendekatan keseluruhan kerajaan (Whole-of-Government) dalam membangunkan penyelesaian digital yang mengintegrasikan kepakaran dan sumber antara kementerian.

“Penyerahan kepada KPM menandakan peralihan kepada fasa pemilikan dan pengoperasian portal bagi memastikan ketepatan maklumat, tadbir urus data serta penambahbaikan sistem terus dilaksanakan mengikut keperluan pengguna,” menurut kenyataan itu.

Inisiatif itu juga selari dengan usaha Kementerian Digital memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan secara bersepadu, dengan teknologi sebagai pemudah cara ke arah pengalaman perkhidmatan yang lebih mudah, cekap dan berpaksikan rakyat, selaras aspirasi Negara AI 2030.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button