Legenda boling negara, Shirley Chow meninggal dunia pada usia 76 tahun
IPOH – Legenda boling negara yang juga penerima anugerah Olahragawati Negara 1979, Shirley Chow meninggal dunia di sini kelmarin pada usia 76 tahun selepas mengalami masalah kesihatan.
Pemergian bekas atlet kebangsaan itu disahkan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) menerusi kenyataan di media sosial semalam dan menyifatkannya sebagai kehilangan besar kepada komuniti boling negara.
“Dedikasi, semangat dan komitmen beliau terhadap boling akan sentiasa dikenang warga boling Malaysia serta mereka yang pernah disentuh sepanjang perjalanan kariernya dalam sukan ini,” kata MTBC.
Antara pencapaian terbesar Shirley ialah membantu Malaysia meraih pingat emas acara trio wanita pada Sukan Asia Hiroshima 1994 bersama Lydia Kwah dan Datuk Shalin Zulkifli. Beliau turut memenangi pingat perak acara beregu wanita bersama Lydia pada temasya sama.

Pada 1995, Shirley sekali lagi mengharumkan nama negara apabila bergandingan dengan Shalin dan Lisa Kwan untuk meraih pingat perak acara trio wanita pada Kejohanan Dunia di Reno, Amerika Syarikat.
Kecemerlangan Shirley dalam arena boling bermula sejak Sukan SEA 1977 apabila beliau membantu negara meraih pingat gangsa acara berpasukan.
Beliau kemudian memenangi dua pingat perak menerusi acara beregu dan trio pada Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 sebelum meraih emas beregu bersama Lisa serta perak perseorangan pada temasya di Manila, Filipina, pada 1991.
Sukan SEA Singapura 1993 pula menjadi antara kemuncak kariernya apabila Shirley membawa pulang tiga pingat emas menerusi acara trio, berpasukan dan All Events, selain pingat perak acara perseorangan.
Selepas menamatkan karier sebagai atlet, Shirley terus menabur bakti dalam sukan berkenaan menerusi bidang kejurulatihan dengan membimbing bakat muda di Perak.
Penglibatannya dalam program pembangunan Majlis Sukan Negara (MSN)-MTBC turut direkodkan pada 2004, ketika beliau masih menunjukkan keupayaan untuk bersaing di lorong boling.
MTBC turut merakamkan penghargaan atas sumbangan berterusan Shirley sebagai atlet dan jurulatih yang membantu mencorakkan perkembangan sukan boling negara.
Menurut persatuan itu, jasa serta legasi yang ditinggalkan mendiang akan terus menjadi inspirasi kepada generasi pemain akan datang.
MTBC turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga, insan tersayang, bekas rakan sepasukan dan anak didik Shirley.
“Beliau akan amat dirindui dan sentiasa dikenang,” kata kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














