Baja pesawah: SPRM rakam keterangan Mohamad Sabu, 37 saksi lain
KAJANG – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu antara 37 saksi yang telah dirakam percakapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, siasatan kes berkenaan kini berada pada peringkat akhir selepas pelbagai dokumen dan keterangan saksi diperoleh bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, siasatan dibuka susulan aduan diterima pada 26 Ogos lalu berhubung pelantikan Taaveekun Manufacturing Sdn Bhd oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi membekal, menghantar dan mengedar 1.23 juta beg atau 30,800 tan baja sebatian bernilai RM108.61 juta.
Menurutnya, bekalan baja tersebut adalah di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) bagi kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) seluas 100,000 hektar untuk Musim 1 dan 2 Tahun 2026 yang melibatkan kira-kira 60,000 pesawah.
“Bagaimanapun, bagi Musim 1, syarikat terbabit gagal memenuhi jadual pembekalan apabila daripada 616,015 beg yang sepatutnya dibekalkan, hanya 333,655 beg berjaya dihantar manakala baki 282,360 beg masih belum dibekalkan.
“Bekalan yang diterima juga didapati tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas Program Menembak SPRM Bersama Media di sini hari ini.
Abdul Halim berkata, seorang Pengarah Urusan syarikat terbabit telah ditahan pada 12 September lalu sebelum direman selama empat hari bermula 13 hingga 16 September.
Katanya, individu berkenaan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan SPRM sementara siasatan diteruskan.
Beliau berkata, Mohamad Sabu telah dirakam keterangan pada 16 September lalu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, manakala Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Isham Ishak pula dirakam percakapan sehari lebih awal.
“Turut dipanggil memberi keterangan ialah 29 individu terdiri daripada anggota Lembaga Perolehan KPKM, Jawatankuasa Penilai Tender MADA, pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), penerima baja di PPK serta kakitangan MADA.
“Lapan lagi saksi adalah pekerja Taaveekun Manufacturing Sdn Bhd, Sinergi Perdana Sdn Bhd dan Permodalan RISDA Berhad,” katanya lagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kegagalan pembekalan baja mengikut jadual dipercayai berpunca daripada keupayaan modal syarikat yang terhad sehingga menjejaskan proses pembekalan dalam tempoh ditetapkan.
“Siasatan kini turut memberi tumpuan kepada Seksyen 471 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen secara curang atau tidak jujur.
“SPRM juga sedang meneliti kemungkinan wujud elemen kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.lagi.
Tambah beliau, pasukan penyiasat sedang menganalisis penyata akaun bank, dokumen kewangan dan lejar syarikat bagi tempoh 2023 hingga 2025 selain menyemak pengesahan baki kemudahan kredit berjumlah RM22.07 juta.
“SPRM turut membuat perbandingan Sijil Analisa Makmal (COA) dengan laporan makmal berkaitan bagi meneliti pematuhan spesifikasi baja,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Abdul Halim berkata, aspek kelemahan tatakelola turut dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kelewatan pembekalan baja berkenaan.
“Dapatan berkaitan kelemahan tatakelola itu akan dijadikan asas untuk penambahbaikan sistem dan prosedur dalam agensi terlibat bagi mengelakkan isu sama berulang pada masa hadapan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







