BERITA SEMASA

Projek Wi-Fi IPTA siap 55 peratus, dijangka selesai September

DURIAN TUNGGAL – Projek Wi-Fi Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di 539 lokasi seluruh negara kini mencapai 55 peratus atau 294 lokasi dan dijangka disiapkan sepenuhnya menjelang September ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, projek bernilai RM664 juta itu dilaksanakan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

Menurutnya, fasa satu dan dua projek berkenaan membabitkan 191 lokasi dan telah siap sepenuhnya, manakala pelaksanaan fasa tiga kini sedang berjalan.

“Untuk IPTA Fasa Ketiga, ia meliputi 42 lokasi daripada 204 lokasi, iaitu 21 peratus telah pun siap dan baki lokasi masih dalam peringkat penyelarasan rantaian dan pemasangan.

“Untuk MARA, kami telah kenal pasti 110 lokasi, antaranya 60 lokasi telah siap, iaitu 55 peratus.

“Bagi institusi di bawah KESUMA pula, kami telah kenal pasti 34 lokasi dan satu telah siap, manakala yang lain masih dalam proses,” katanya memetik laporan BERNAMA.

Terdahulu beliau meninjau pelaksanaan Projek Wi-Fi IPTA Fasa 3 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini.

Di UTeM, sebanyak 302 titik capaian (Access Point) telah dipasang pada 27 Ogos lalu, membabitkan lebih 1,000 pelajar dan menjadikan keseluruhan titik capaian Wi-Fi di universiti itu sebanyak 410.

Selain kemudahan Wi-Fi, pembinaan menara telekomunikasi 4G baharu di UTeM turut sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada November ini.

Di Melaka, Projek Wi-Fi IPTA membabitkan keseluruhan 1,399 titik capaian di 10 kampus awam.

Pelajar UTeM turut menyambut baik kemudahan berkenaan yang disifatkan mampu meningkatkan kualiti serta capaian internet bagi menyokong pembelajaran dan pencapaian akademik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button