BERITA SEMASA

BKS SPRM, MCMC kongsi amalan terbaik pengurusan krisis

CYBERJAYA – Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) Suruhanjaya Pencoedgahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh kerjasama strategik menerusi sesi libat urus bagi meningkatkan keupayaan pengurusan komunikasi krisis serta menangani penyebaran kandungan berunsur negatif di platform digital.

Pengarah BKS SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, kerjasama erat antara agensi berkaitan amat penting bagi memastikan pengurusan sesuatu krisis dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, pantas dan berkesan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar MCMC menyelaras kerjasama antara agensi berkaitan bagi memperkukuh mekanisme pengurusan krisis serta mempercepat penyampaian maklumat dan tindakan terhadap isu yang timbul.

Beliau turut memaklumkan bahawa SPRM kini sedang mengusahakan pengiktirafan Pensijilan ISO bagi pengurusan krisis sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Strategik SPRM 2026 hingga 2030.

“ISO ini nanti boleh diguna pakai oleh semua agensi sebagai satu garis panduan dalam pengurusan krisis,” katanya pada sesi libat urus bersama MCMC di Creative Hub, Menara 1, MCMC, Cyberjaya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Bahagian Komunikasi dan Hubungan Industri MCMC, Shirley Tan Shuo Ling berkata, analisis sentimen yang dijalankan oleh pihaknya berpandukan dua sumber utama, iaitu liputan media dan pandangan “key opinion leader (KOL)”, bagi membantu agensi mengenal pasti isu yang berpotensi mencetuskan krisis.

Menurutnya, analisis berkenaan membolehkan sesuatu isu dipantau secara lebih sistematik, sekali gus membolehkan tindakan komunikasi diambil dengan lebih pantas bagi menangani persepsi negatif masyarakat sebelum ia berkembang menjadi krisis yang lebih besar.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Pengurusan Platform Kandungan MCMC, Mai Zairani Zainal Abidin berkata, MCMC boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana kandungan dalam talian yang melanggar peruntukan undang-undang, termasuk kandungan palsu, sumbang, jelik, lucah dan mengancam.

Beliau berkata, MCMC sedia bekerjasama dan membantu SPRM dalam menangani isu-isu mengenai kandungan dalam talian.

Katanya, orang ramai boleh mengemukakan aduan melalui portal MCMC dengan menyertakan laporan polis atau pernyataan sebagai dokumen sokongan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap kandungan yang dilaporkan.

Menurutnya, MCMC juga mempunyai kuasa untuk mengarahkan portal media menurunkan kandungan yang didapati melanggar peruntukan undang-undang, selain memberikan keutamaan kepada kes yang melibatkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas.

Turut hadir Timbalan Pengarah BKS SPRM, Jules Rahman Ong dan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat MCMC, Zul Fikri Zamir Mohamad Munir.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button