BERITA SEMASA

Najib terima pengampunan bersyarat, jalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 2028

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberikan pengampunan bersyarat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Perkara itu dimaklumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut kenyataan itu, pengampunan bersyarat berkenaan tertakluk kepada syarat termasuk pembayaran denda sebanyak RM50 juta.

“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda Ringgit Malaysia Lima Puluh Juta sahaja (RM50,000,000.00),” menurut kenyataan itu.

BHEUU berkata, Najib juga perlu mematuhi semua syarat yang ditetapkan dan kegagalan berbuat demikian menyebabkan pengampunan bersyarat itu terbatal.

“Dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” menurut kenyataan berkenaan.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung hari ini.

Mesyuarat itu diadakan seminggu selepas Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 11 September lalu menangguhkan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat akan datang.

Najib kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Pada Julai 2020, beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah dalam kes berkenaan. Sabitan dan hukuman itu kemudian dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

Pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib sebanyak 50 peratus daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. Tarikh pembebasan awal ketika itu ditetapkan pada 23 Ogos 2028.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button