PRN Melaka: Duyong bukan milik mana-mana parti, rakyat tentukan wakil – Pengerusi DAP Melaka
KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong menegaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong bukan milik mana-mana parti politik atau individu, sebaliknya keputusan mengenai siapa yang akan mewakili kawasan itu pada pilihan raya akan datang perlu ditentukan rakyat.
Beliau berkata, kenyataannya sebelum ini mengenai usaha mendapatkan sokongan rakyat tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai mahu “merampas” Duyong.
Katanya, persaingan politik perlu dilakukan secara matang dengan mengetengahkan dasar, rekod kerja serta khidmat kepada rakyat, bukannya melalui permusuhan atau kebencian.
“Kalau mahu bertanding, kita bertanding. Kalau mahu bersaing, kita bersaing.
“Bersainglah dengan dasar, dengan rekod kerja, dengan khidmat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengulas reaksi sesetengah pihak yang mahu “lawan habis-habisan”, termasuk gesaan supaya DAP kalah deposit di Duyong.
Menurutnya, tidak perlu pertandingan politik dibawa sehingga mencetuskan permusuhan sesama sendiri.
Beliau berkata rakyat Duyong cukup matang untuk membuat penilaian dan menentukan sendiri pihak yang mahu dipilih.
“Kita tidak perlu tentukan untuk mereka siapa yang patut dipilih. Biar rakyat dengar. Biar rakyat nilai. Biar rakyat tentukan,” katanya.
Beliau turut menegaskan tidak gentar untuk bersaing dan tidak akan marah sekiranya ada pihak lain mahu bertanding di Duyong kerana ia adalah hak dalam sistem demokrasi.
Katanya, perbezaan politik dan persaingan dalam pilihan raya tidak seharusnya menyebabkan masyarakat bermusuhan.
“Kita boleh berbeza politik. Kita boleh berlawan dalam pilihan raya. Tetapi akhirnya, kita semua masih mahu yang terbaik untuk rakyat Duyong.
“Pertandingan biar matang. Keputusan biar di tangan rakyat.”
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








