JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas pengarah besar badan berkanun tiba di Mahkamah Putrajaya untuk prosiding reman

PUTRAJAYA – Bekas pengarah besar sebuah badan berkanun bergelar Datuk tiba di Mahkamah Putrajaya di sini pagi ini bagi prosiding permohonan reman berkaitan kes penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.

Lelaki berusia lingkungan 60-an itu tiba pada pukul 9.15 pagi menaiki van Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek yang mengenakan baju berkolar berwarna hijau kemudian dibawa masuk ke mahkamah dengan diiringi dua pegawai SPRM dalam keadaan tangannya tidak bergari, lapor Kosmo! Online

Semalam, SPRM menahan dua lelaki, masing-masing berusia lingkungan 60-an dan 50-an, termasuk bekas pengarah besar badan berkanun berkenaan yang bergelar Datuk.

Kedua-duanya ditahan kira-kira pukul 4 petang selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Mereka disyaki terbabit dalam penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pelantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di Kuala Lumpur.

Minggu lalu, SPRM dilaporkan membuka tujuh kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, dilaporkan berkata siasatan khas berskala besar dikenali sebagai OPS FELLA itu memberi tumpuan terhadap transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan FELDA dan FIC bagi tempoh 10 tahun, antara 2010 hingga 2020.

Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti butiran serta pihak yang terlibat dalam kes berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button