AMK tuntut penjelasan Madinah berhubung sapina RCI Tabung Haji
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad dituntut memberikan penjelasan susulan pendedahan Tan Sri Rashid Hussain bahawa beliau telah dipanggil melalui proses sepina untuk memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).
Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, pihaknya memandang serius pendedahan Ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji itu hari ini yang menimbulkan persoalan besar terhadap naratif bahawa Madinah sebelum ini tidak diberikan peluang untuk memberikan keterangan.
“Jika benar beliau sudah dipanggil secara rasmi melalui sapina, mengapa fakta penting itu tidak dijelaskan kepada rakyat sejak awal?
“Justeru AMK menuntut Madinah memberikan penjelasan terbuka sama ada beliau menerima sapina tersebut, hadir memberikan keterangan atau mempunyai alasan tertentu sehingga tidak berbuat demikian.
“Rakyat berhak mengetahui keseluruhan fakta, bukan hanya fakta yang sesuai dengan sesuatu naratif,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga : RCI Tabung Haji: AMK mahu siasatan menyeluruh, tanpa kompromi
Menurut kenyataan itu lagi, AMK mengingatkan bahawa RCI bukan pentas politik dan kredibilitinya tidak seharusnya dijatuhkan melalui persepsi atau kenyataan yang tidak lengkap.
“Jika ada bukti RCI gagal menjalankan tanggungjawabnya, kemukakan bukti dan rekod, bukannya membina persepsi seolah-olah RCI sengaja mengetepikan pihak tertentu,” katanya.
Tegasnya, Tabung Haji bukan bahan untuk permainan politik sempit kerana ia membabitkan amanah dan kepentingan jutaan pendeposit.
“Jangan kerana mahu mempertahankan satu naratif, keyakinan rakyat terhadap institusi dan proses mencari kebenaran pula menjadi mangsa.
“Dalam isu sebesar Tabung Haji, kebenaran tidak boleh dipilih mengikut keselesaan politik mana-mana pihak. Jika benar berlaku ketidakadilan, buktikan. Jika proses sapina telah dilaksanakan, akui dan jelaskan kepada rakyat,” katanya lagi.
Media hari ini melaporkan dakwaan bahawa Madinah tidak diberikan peluang untuk hadir memberikan keterangan di hadapan RCI mengenai TH adalah tidak benar.
Rashid yang juga Pengerusi Lembaga TH dilaporkan berkata, rekod prosiding menunjukkan Madinah sudah dikeluarkan sapina dan diminta hadir di hadapan RCI pada 3 Jun 2022.
Madinah meminta hadir bersama Timbalan Pengarah Audit Kewangan ketika itu, Dr Mona Othman, namun ditolak kerana prosiding menetapkan setiap saksi diperiksa secara individu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








