
RASUAH sering dilihat daripada sudut kesalahan yang dilakukan oleh seseorang individu. Apabila berlaku penyelewengan, persoalan yang lazim ditanya ialah siapa yang melakukannya, berapa jumlah kerugian dan apakah tindakan yang boleh diambil terhadap pelaku.
Namun, dalam usaha membanteras rasuah secara menyeluruh, satu persoalan yang lebih besar perlu diberikan perhatian ialah mengapa dan bagaimana kelemahan sistem membolehkan perlakuan itu berlaku?
Persoalan inilah yang menjadi antara fokus utama Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Membanteras rasuah tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata. Kita juga perlu memastikan sistem yang menjadi asas kepada sesebuah organisasi cukup kukuh untuk menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah.
Perbezaan utama antara penyiasatan jenayah dengan penyiasatan tatakelola terletak pada fokusnya di mana bahagian siasatan lazimnya memberi tumpuan kepada kesalahan, individu, bukti dan elemen yang diperlukan untuk tindakan undang-undang. BPT pula melihat sesuatu isu daripada perspektif sistem.
Berdasarkan Seksyen 7 Akta SPRM 2009, fungsi SPRM bukan hanya menerima aduan, mengesan dan menyiasat kesalahan, tetapi turut merangkumi pemeriksaan sistem serta memberi nasihat mengenai langkah yang boleh diambil bagi menghapuskan ruang dan peluang rasuah.
Justeru, apabila BPT menerima sesuatu aduan atau isu, persoalan pertama bukan semata-mata siapa yang bersalah, tetapi apakah kelemahan dalam sistem yang membolehkan perkara tersebut berlaku.
Jika terdapat kelemahan, kita mencari jalan untuk memperbaikinya. Pendekatan ini penting kerana dalam sesetengah keadaan, perlakuan rasuah bukan hanya berpunca daripada sikap individu tetapi kelemahan prosedur, kawalan dalaman yang tidak mencukupi, pemusatan kuasa, peraturan lapuk atau penguatkuasaan lemah boleh mewujudkan peluang untuk disalahgunakan.
Tatakelola bukan peraturan
Ramai mungkin melihat tatakelola sebagai sesuatu yang kompleks dan hanya berkaitan dengan dokumen, pekeliling atau prosedur organisasi. Hakikatnya, tatakelola bermula daripada perkara paling asas. Misalnya,
dalam sebuah keluarga misalnya, ibu bapa menetapkan peraturan supaya anak pulang pada waktu tertentu.
Apabila peraturan dilanggar, teguran diberikan. Teguran itu sendiri merupakan sebahagian daripada mekanisme kawalan supaya peraturan terus dipatuhi. Begitu juga dalam organisasi di mana peraturan waktu bekerja, tatacara berpakaian, pengurusan kewangan, perolehan, penggunaan kuasa dan proses membuat keputusan semuanya membentuk tatakelola.
Organisasi yang mempunyai tatakelola baik lazimnya mempunyai peraturan jelas, bidang kuasa tidak bertindih, proses semak dan imbang, kawalan dalaman yang berfungsi serta penguatkuasaan konsisten.
Lebih penting, tatakelola baik perlu diterjemahkan kepada budaya kerja. Ia tidak boleh berhenti pada tahap polisi atau dokumen yang disimpan dalam fail.
Kelemahan buka ruang rasuah
Antara kelemahan yang sering dikenal pasti ialah menggunakan peraturan yang sudah tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa, ketiadaan peraturan jelas, pemusatan kuasa yang terlalu besar dan penguatkuasaan lemah.
Risiko ini pula tidak semestinya terhad kepada sektor awam atau swasta sahaja. Mana-mana organisasi boleh terdedah kepada risiko sekiranya kawalan dan sistem diwujudkan tidak sepadan dengan tahap risiko operasi masing-masing.
Sebab itu, persoalan yang lebih penting bukan organisasi awam atau swasta yang lebih berisiko, tetapi sejauh mana organisasi itu mengenal pasti, mengurus dan mengawal risikonya.
Organisasi yang besar, kompleks dan mempunyai nilai transaksi tinggi mungkin berdepan risiko berbeza berbanding organisasi kecil. Namun, prinsipnya sama iaitu kuasa perlu dikawal, proses perlu telus dan keputusan mempunyai mekanisme semak dan imbang.
Dalam melaksanakan penyiasatan tatakelola, BPT tidak lagi bertindak secara pasif dengan hanya menerima rujukan daripada bahagian siasatan.
BPT turut mengambil tindakan proaktif terhadap isu yang dikenal pasti melalui inisiatif sendiri, isu kepentingan awam atau perkara yang mendapat perhatian masyarakat dan dilaporkan media.
Prosesnya bermula dengan memahami isu, mengenal pasti proses kerja yang berkaitan dan menganalisis sistem bagi menentukan sama ada terdapat kelemahan yang membuka ruang kepada salah laku.
Antara perkara diberi perhatian termasuk struktur kuasa, prosedur, kawalan dalaman, mekanisme kelulusan, tahap pemantauan serta risiko yang wujud dalam sesuatu proses.
Jika memerlukan kepakaran khusus, SPRM juga boleh mendapatkan pandangan pakar kerana kita perlu mengakui bahawa SPRM bukan pakar dalam semua bidang.
Pendekatan ini menjadikan penyiasatan tatakelola bukan sekadar mencari kesalahan, tetapi mencari penyelesaian.
Dalam tempoh lima tahun, sebanyak 405 khidmat nasihat telah diberikan BPT kepada pihak berkepentingan dalam pelbagai industri.
Apabila kelemahan dikenal pasti, BPT akan mengadakan sesi khidmat nasihat dan mengemukakan syor cadangan penambahbaikan kepada organisasi terbabit.
Namun, perlu difahami bahawa khidmat nasihat tatakelola bukan hukuman atau proses pendakwaan. Bagi pihak tertentu, khususnya organisasi swasta dan badan awam, cadangan itu pada asasnya berbentuk nasihat penambahbaikan dan tidak mempunyai penalti seperti proses penguatkuasaan.
Bagi organisasi kerajaan yang tidak melaksanakan cadangan, BPT akan mengadakan perbincangan semula untuk memahami alasan dan kekangan yang dihadapi.
Jika selepas melalui proses berkenaan masih tiada kesediaan untuk melaksanakan penambahbaikan, isu itu boleh dibawa ke Jawatankuasa Tatakelola Nasional (JTN) untuk pertimbangan selanjutnya.
Teknologi mengubah risiko
Cabaran tatakelola hari ini juga semakin kompleks. Era pendigitalan, automasi dan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) membawa banyak manfaat kepada organisasi, tetapi pada masa sama mewujudkan risiko baharu yang perlu difahami.
Sistem tatakelola tidak boleh bergerak dengan cara lama sedangkan teknologi dan kaedah operasi berubah begitu pantas. Jika teknologi sudah mendahului sistem kawalan, organisasi berisiko berdepan jurang tatakelola yang boleh dieksploitasi.
Sebab itu, tatakelola perlu bersifat dinamik. Peraturan dan kawalan perlu sentiasa dinilai serta dikemas kini berdasarkan risiko semasa dan risiko yang dijangka muncul pada masa hadapan.
Dalam konteks ini, perbezaan antara audit dan tatakelola amat penting. Audit lazimnya melihat apa yang sudah berlaku. Tatakelola pula perlu melihat apa yang mungkin berlaku. Kita perlu bersedia sebelum risiko menjadi kenyataan.
Mencegah sebelum terlambat
BPT turut memainkan peranan sebagai tenaga pakar dalam Pengurusan Risiko Rasuah (Corruption Risk Management – CRM) bagi membantu organisasi mengenal pasti kelemahan dan punca yang berpotensi membawa kepada rasuah.
Selain CRM, BPT juga menjadi tenaga pakar bagi pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), iaitu dokumen dasar antirasuah di peringkat organisasi yang menjadi sebahagian daripada pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).
Pendekatan berasaskan risiko ini membolehkan organisasi bertindak lebih awal, bukannya menunggu sehingga berlaku kes sebelum mengambil tindakan.
Dalam erti kata lain, lebih baik kita menutup pintu sebelum pencuri masuk daripada hanya mencari pencuri selepas rumah dirompak.
Kejayaan penambahbaikan tatakelola juga tidak seharusnya terhenti dalam sesebuah organisasi. Amalan terbaik perlu dikongsi supaya boleh dicontohi dan disesuaikan oleh organisasi lain.
Antara contoh yang pernah menerima khidmat nasihat BPT termasuk penambahbaikan pengurusan tabung masjid, pengurusan hasil kutipan negeri Sabah, pengurusan pelepasan kontena di Pelabuhan Tanjung
Pelepas, Johor serta pengurusan tanah di Pejabat Tanah Daerah Ulu Kinta, Perak.
BPT turut menganjurkan Anugerah Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) setiap dua tahun sebagai pengiktirafan kepada organisasi yang berjaya melaksanakan penambahbaikan tatakelola dan sistem.
Pengiktirafan sebegini penting kerana ia menunjukkan bahawa tatakelola bukan hanya tentang mengelakkan hukuman, tetapi mampu menghasilkan organisasi yang lebih cekap, telus dan dipercayai.
Integriti menjadi budaya
Pada akhirnya, tatakelola yang kukuh tidak akan bermakna tanpa integriti manusia yang mengendalikannya.
Setiap individu perlu memahami bahawa integriti bukan hanya bermaksud tidak menerima rasuah. Integriti juga bermakna berani menolak konflik kepentingan, mematuhi prosedur, menggunakan kuasa secara amanah dan bertanggungjawab serta berani menyuarakan kelemahan dalam sistem.
Tatakelola kukuh, integriti utuh bukan sekadar slogan, tetapi tanggungjawab bersama untuk memastikan amanah kekal menjadi asas dalam setiap keputusan dan tindakan.
ARTIKEL OLEH:
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








