BISNES & EKONOMI

Provident satukan pemain industri perkasa ekosistem, literasi kewangan

KUALA LUMPUR – Peningkatan kos sara hidup, hutang digital dan tekanan kewangan semakin mempengaruhi keputusan kewangan individu serta isi rumah di Malaysia, sekali gus menuntut pendekatan lebih menyeluruh bagi memperkukuh daya tahan kewangan masyarakat.

Perkara itu antara fokus perbincangan panel anjuran Provident Banc Berhad (Provident) dengan kerjasama firma perunding kewangan Islam dan penasihat Syariah, Masryef Academy menerusi sesi bertajuk “Kos Sara Hidup, Hutang Digital dan Tekanan Kewangan: Peranan Pembiayaan Islam dalam Membina Kestabilan Kewangan” di ibu negara, baru-baru ini.

Sesi itu menghimpunkan pemimpin industri perkhidmatan kewangan Malaysia bagi membincangkan cabaran kewangan semasa serta peranan pembiayaan bertanggungjawab dalam membantu pengguna membuat keputusan kewangan yang lebih baik.

Antara mesej utama yang diketengahkan ialah daya tahan kewangan tidak dapat dicapai melalui akses kepada pembiayaan semata-mata.

Sebaliknya, para panel menekankan kepentingan pendekatan menyeluruh dengan menggabungkan amalan pembiayaan bertanggungjawab, literasi kewangan yang lebih kukuh, pembuatan keputusan kewangan bermaklumat serta kerjasama lebih erat antara institusi kewangan, badan kawal selia, penyedia teknologi dan pihak berkepentingan lain dalam industri.

Perbincangan itu turut meneliti perubahan corak peminjaman pengguna serta perkembangan pesat perkhidmatan kewangan digital yang sedang membentuk semula landskap kewangan Malaysia.

Seiring kemudahan akses kepada penyelesaian kewangan menerusi teknologi, para panel menekankan kepentingan mengimbangi aspek kemudahan dan inovasi dengan amalan pembiayaan bertanggungjawab.

Pendekatan itu penting bagi membantu pengguna memahami komitmen kewangan mereka serta membuat keputusan yang selaras dengan kedudukan kewangan jangka panjang.

Sesi berkenaan dirasmikan oleh Pengasas Masyi Group of Companies, Datuk Prof. Dr Haji Mazlan Ahmad, yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam sektor perbankan serta menyandang pelbagai peranan di Bank Negara Malaysia.

Panel turut menampilkan Pengarah Eksekutif Provident Banc Berhad, Nor Shahmir Nor Shahid; Bendahari Kehormat Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Berhad dan mantan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Dr Mustafha Abd Razak; Ketua Pegawai Teknologi Co-opbank Pertama, Ts. Zairil Anuar Ahmad; Ketua Pegawai Operasi MicroLEAP PLT, Matthew Fernandez; Ketua Pendidikan Kewangan Isi Rumah AKPK, Nirmala Supramaniam dan Ketua Pegawai Eksekutif MARC Data, Vikraman Kalia Purumal.

provident
Provident Banc Berhad (Provident) memeterai tiga Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MicroLEAP PLT, Holborn Capital Partners Sdn. Bhd. dan Peopleperks International Sdn. Bhd. (HariWang) bagi memperkukuh ekosistem kewangan serta kesejahteraan kewangan pengguna.

Dalam majlis sama, Provident turut memeterai tiga Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MicroLEAP PLT, Holborn Capital Partners Sdn Bhd dan Peopleperks International Sdn. Bhd. (HariWang).

Kerjasama itu menghimpunkan kepakaran dalam bidang pembiayaan alternatif, khidmat nasihat kewangan dan pengurusan kekayaan serta kesejahteraan kewangan pekerja.

MicroLEAP PLT merupakan platform pembiayaan rakan setara (peer-to-peer financing) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan dikenali sebagai antara platform yang memperluas akses kepada penyelesaian pembiayaan alternatif yang inovatif untuk perniagaan.

Holborn Capital Partners Sdn Bhd pula merupakan firma khidmat nasihat kewangan dan pengurusan kekayaan antarabangsa yang menawarkan kepakaran dalam perancangan kewangan, khidmat nasihat pelaburan serta pengurusan kekayaan.

HariWang merupakan platform kesejahteraan kewangan pekerja yang mengkhusus dalam kemudahan Akses Gaji Terperoleh (Earned Wage Access), bagi membantu pekerja mengurus keperluan kewangan jangka pendek dengan lebih baik melalui akses secara bertanggungjawab kepada gaji yang telah diperoleh.

Secara keseluruhannya, kerjasama strategik itu memperkukuh komitmen Provident dalam menggalakkan inovasi, meningkatkan literasi kewangan serta menyediakan penyelesaian kewangan berorientasikan pelanggan yang mampu memberikan nilai kepada komuniti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button