KBS salur lebih RM1 juta perkasa angkat berat negara
KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan tambahan lebih RM1 juta bagi memperkukuh pembangunan sukan angkat berat negara susulan kejayaan cemerlang kontinjen berkenaan pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, sukan angkat berat berjaya menyumbang tujuh pingat menerusi lima emas, satu perak dan satu gangsa, sekali gus menjadi penyumbang pingat terbesar kepada kontinjen negara pada temasya berkenaan.

Menurutnya, peruntukan tambahan itu dipersetujui selepas Majlis Sukan Negara (MSN) mengadakan perbincangan lanjut bersama Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM).
“Permohonan tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada 13 Ogos lalu dan Lembaga Pengurusan MSN bersetuju secara prinsip untuk mempertimbangkan permohonan berkenaan.
“Susulan itu, MSN mengadakan perbincangan lanjut bersama PABM dan persetujuan dicapai berhubung beberapa bentuk bantuan serta penambahbaikan melibatkan peruntukan tambahan lebih RM1 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara penambahbaikan dipersetujui ialah menaik taraf kemudahan di Pusat Latihan Angkat Berat Rompin, Pahang dengan cadangan menjadikannya Pusat Kecemerlangan Sukan Angkat Berat Kebangsaan.
Selain itu, jurulatih sepenuh masa akan ditempatkan di pusat latihan berkenaan dengan turut memberi tumpuan kepada pembangunan atlet wanita.
MSN juga akan menambah kuota atlet angkat berat di bawah Program Pelapis selepas temasya SUKMA Selangor 2026, khusus kepada atlet yang dikenal pasti mempunyai potensi tinggi serta memenuhi piawaian pemilihan.
“Seorang pegawai strength and conditioning sepenuh masa turut akan dilantik bagi skuad angkat berat negara bagi menyokong aspek pembangunan fizikal, prestasi dan persediaan atlet secara lebih sistematik,” katanya lagi.
Dalam masa sama, pembangunan atlet wanita akan diberi perhatian lebih khusus meliputi aspek pencarian bakat, pembangunan jangka panjang dan penyediaan atlet berprestasi tinggi.
“Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan diperkukuh bagi membangunkan sukan angkat berat di peringkat sekolah, termasuk penganjuran kejohanan serta usaha menjadikan angkat berat antara sukan sekolah di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM),” katanya lagi.
Menurutnya, Kejohanan Bakat Angkat Berat melibatkan atlet negeri melalui PABM turut akan diselaraskan sebagai sebahagian usaha memperluas pencarian dan pembangunan bakat.
MSN dan PABM juga akan memperkasa pembangunan jurulatih serta pegawai teknikal menerusi lebih banyak kursus bagi meningkatkan bilangan dan kompetensi tenaga kejurulatihan.
Mohammed Taufiq berkata, kejayaan di Glasgow membuktikan sukan angkat berat mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan melakar kejayaan di pentas antarabangsa.
“Bantuan dan penambahbaikan ini bukan sahaja sebagai penghargaan terhadap pencapaian semasa, tetapi juga pelaburan jangka panjang bagi membina ekosistem sukan angkat berat yang lebih kukuh.
“KBS dan MSN kekal komited untuk memperkukuh pembangunan sukan angkat berat negara dan akan terus bekerjasama rapat dengan PABM bagi melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi yang mampu mencipta kejayaan serta mengharumkan nama negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








