BERITA SEMASASUKAN

Sukan SEA 2025: Lonjakan pingat bukti kebangkitan sukan negara – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Lonjakan jumlah pingat dan rekod baharu yang dicatatkan kontinjen negara pada Sukan SEA Thailand 2025 menjadi petunjuk jelas bahawa Malaysia kini berada di landasan kebangkitan sukan yang semakin meyakinkan di peringkat serantau.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pencapaian Malaysia pada temasya kali ini bukan sekadar peningkatan angka, sebaliknya mencerminkan peluasan penyertaan, peningkatan kualiti serta keyakinan baharu atlet negara merentas pelbagai disiplin.

Menurut Hannah, yang kini merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Malaysia berjaya meraih 231 pingat di Sukan SEA Thailand 2025 berbanding 175 pingat pada edisi Cambodia 2023, selain menurunkan kontinjen penuh dalam 50 jenis sukan berbanding 34 sebelum ini.

“Daripada hanya 15 sukan penyumbang emas, kini 28 sukan berjaya menghadiahkan pingat emas kepada negara. Ini membuktikan Malaysia bukan lagi bergantung kepada sukan tradisi semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan.

Pingat
Foto Facebook Hannah Yeoh.

Beliau berkata, kejayaan itu turut diserlahkan apabila olahraga dan renang muncul sebagai nadi utama kontinjen negara, dengan rekod demi rekod berjaya dipecahkan sepanjang temasya berlangsung.

Dalam sukan olahraga dan menembak, Malaysia mencatat enam rekod baharu Sukan SEA, termasuk menerusi Grace Wong Xiu Mei dalam acara tukul besi wanita, Jonah Chang Rigan (lontar peluru lelaki) serta Muhammad Irfan dalam lempar cakera lelaki.

Selain itu, acara menembak turut menyaksikan kejayaan Gan Chen Jie dan pasukan wanita 50 meter tiga posisi, selain Haritz Ikhil Hessly Hafiz bagi kategori lelaki, yang masing-masing memperbaharui rekod temasya.

Pada masa sama, sebanyak 12 rekod kebangsaan turut dipecahkan melibatkan olahraga, akuatik renang dan berbasikal trek, sekali gus mengukuhkan prestasi atlet negara di pentas Asia Tenggara.

“Malaysia kini hadir bukan sekadar sebagai pencabar, sebaliknya pesaing serius dalam hampir semua disiplin sukan. Kempen 2025 membuktikan bahawa penyertaan yang lebih luas mampu menghasilkan kemenangan yang lebih besar, berkualiti dan bermakna,” katanya.

Hannah turut menyifatkan Sukan SEA Thailand 2025 sebagai titik tolak kepada fasa ‘naik kelas’ sukan negara, dengan hala tuju pembangunan atlet yang disifatkan masih berada pada peringkat awal tetapi menunjukkan potensi besar.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, serta seluruh warga MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) atas komitmen dan profesionalisme dalam menyokong kejayaan kontinjen Malaysia.

“Kejayaan atlet adalah kejayaan mereka juga. Sokongan menyeluruh inilah yang menjadi asas kepada kebangkitan sukan negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button