POLITIK

PH perlu rombak strategi jika mahu bangkit semula di PRN Melaka

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) perlu melakukan penilaian menyeluruh terhadap strategi politiknya serta meninggalkan naratif yang tidak lagi mendapat sambutan rakyat sekiranya mahu bangkit semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Penganalis Politik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah berkata, kekalahan PH di Johor sebelum ini diikuti keputusan mengecewakan pada PRN Negeri Sembilan menjadi isyarat jelas bahawa gabungan itu perlu melakukan perubahan segera bagi mengembalikan keyakinan pengundi.

Pada PRN Negeri Sembilan Sabtu lalu, PH kehilangan tampuk pentadbiran negeri apabila gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan selepas memenangi majoriti dua pertiga.

penganalisis
Prof Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah.

Keputusan itu turut menyaksikan beberapa pemimpin utama PH tewas, termasuk Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Mengulas perkembangan itu, Mohd Azmir berkata, PH perlu melihat semula pendekatan kempen dan strategi yang digunakan kerana prestasi dua parti komponen utamanya menunjukkan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki.

“PH perlu melihat semula strategi. Apabila dua parti komponen tidak menunjukkan prestasi yang baik, ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan pendekatan semasa,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Menurut beliau, isu agama termasuk polemik 3R (agama, kaum dan institusi diraja) serta isu nasional seperti Tabung Haji tidak lagi mampu menjadi faktor penarik atau selling point kepada pengundi.

Beliau turut berpandangan PH perlu menghentikan penggunaan naratif berasaskan sentimen perkauman kerana pendekatan sedemikian tidak lagi memberi kelebihan politik.

“PH juga perlu tidak lagi menggunakan naratif rasisme kerana DAP sendiri dilihat menggunakan elemen tersebut dan ia tidak memberi manfaat kepada gabungan itu,” jelas beliau yang juga Pengarah Pusat Kemajuan Profesional & Pendidikan Berterusan (PACE) USIM.

Dalam pada itu, Mohd Azmir berkata, persefahaman politik antara BN dan PN pada PRN Negeri Sembilan menjadi antara faktor utama yang menentukan keputusan pilihan raya.

Katanya, strategi mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru memberi pilihan yang lebih jelas kepada pengundi selain menghalang perpecahan undi dalam kalangan penyokong kedua-dua parti.

“Keputusan strategik untuk mewujudkan pertandingan satu lawan satu memberi pilihan yang lebih jelas kepada pengundi. Pada masa sama, cubaan memecahkan undi tidak berjaya.

“Hasilnya, BN memenangi 18 kerusi manakala PN memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membolehkan kedua-dua parti membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga,” katanya.

Beliau berkata, dapatan daripada PRN Negeri Sembilan itu wajar dijadikan iktibar oleh PH sekiranya gabungan berkenaan mahu kembali memperoleh sokongan rakyat menjelang PRN Melaka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button