BERITA SEMASA

Bukan buku politik, Raja Ahmad himpun catatan sejarah dalam ‘Sepucuk Surat Sebuah Episod’

KUALA LUMPUR – Bukan sebuah buku politik, sebaliknya rakaman pemerhatian terhadap perjalanan masyarakat dan sejarah tanah air menjadi inti pati karya terbaharu budayawan, Raja Ahmad Aminullah berjudul Sepucuk Surat Sebuah Episod: Rakaman Pelaku-Pelaku Zaman.

Naskhah tersebut menghimpunkan arkib warkah peribadi serta interaksi eksklusif beliau bersama tokoh-tokoh penting negara sebagai satu pendokumentasian sosiobudaya yang merakamkan perjalanan sesuatu zaman.

Lebih dikenali sebagai Pak Engku, Raja Ahmad berkata, beliau tidak pernah berniat menghasilkan buku berunsur politik, sebaliknya hanya merakamkan pemerhatian terhadap persekitaran dan kehidupan masyarakat.

“Saya tidak menulis buku-buku politik, saya menulis buku yang memerihalkan persekitaran saya dan persoalan sosiobudaya masyarakat.

“Saya tidak berminat dengan politik perkelahian, saya tak minat dengan proses politik kerana ia hanya pemerhatian,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku berkenaan yang disempurnakan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd. Khair Ngadiron di sini semalam.

Turut hadir ialah barisan penggiat seni, sasterawan, ahli akademik serta rakan-rakan beliau.

raja ahmad
Budayawan, Raja Ahmad Aminullah menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran buku Sepucuk Surat Sebuah Episod: Rakaman Pelaku-Pelaku Zaman di Kuala Lumpur. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Mengulas kandungan naskhah itu, Pak Engku berkata, buku berkenaan tidak bertujuan mengangkat atau memfokuskan mana-mana individu, sebaliknya berkongsi pengalaman dan catatan yang boleh dijadikan iktibar serta pengajaran kepada masyarakat.

“Buku ini bukan mengenai Mahathir Mohamad, bukan mengenai Anwar Ibrahim, dan pastinya bukan mengenai penulisnya yang inconsequential. Ia hanyalah rakaman satu episod yang berlaku sekitar 25 tahun lepas agar semua kita dapat manfaat daripada pengajaran terkandung di dalamnya,” katanya.

Beliau berkata, penerbitan buku tersebut merupakan usaha mengabadikan memori serta peranan yang pernah dimainkannya dalam lipatan sejarah agar dapat dinilai oleh generasi akan datang dari sudut pandang yang lebih terbuka.

Naskhah setebal 169 muka surat terbitan Lestari Hikmah itu dijangka menjadi bahan rujukan penting kepada peminat sastera, sejarah dan sains sosial yang ingin memahami naratif perjuangan tokoh-tokoh tempatan menerusi perspektif yang lebih manusiawi.

Buku itu dijual pada harga RM30 bagi edisi kulit lembut dan RM80 bagi edisi kulit keras, serta boleh didapati di kedai buku fizikal, acara tertentu dan secara dalam talian.

raja ahmad
Pengunjung meneliti kandungan buku Sepucuk Surat Sebuah Episod: Rakaman Pelaku-Pelaku Zaman pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Sementara itu, Presiden Lestari Hikmah Malaysia, Mohd. Rashidi berkata, buku tersebut membawa pembaca mengimbau satu era yang telah mencorakkan perjalanan Malaysia sehingga ke hari ini.

Menurut beliau, kira-kira dua pertiga daripada usia kemerdekaan negara telah diwarnai oleh pergelutan politik melibatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama sekutu dan musuh politiknya.

Katanya, dengan sekali-sekala mengimbas kembali peristiwa lampau, masyarakat dapat memahami banyak perkara yang berlaku pada masa kini memandangkan corak politik yang dimainkan masih memperlihatkan watak serta kelompok yang sama.

Beliau berkata, Raja Ahmad bukan sekadar seorang seniman dan budayawan, malah mempunyai perjalanan panjang dalam dunia aktivisme, politik dan seni, selain menjalin hubungan dengan ramai tokoh dalam serta luar negara sehingga meletakkan beliau sebagai seorang aktivis sejarah lisan.

“Justeru, pengalaman itu wajar dimanfaatkan kerana terdapat banyak perkara yang kadangkala tidak dicatat secara rasmi, namun mempunyai nilai sejarah yang tinggi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button