POLITIK

Turun padang kaedah terbaik dekati, fahami isu rakyat

SEREMBAN – Pendekatan turun padang secara konsisten melalui pelbagai program merupakan cara terbaik mendekati rakyat bagi mendengar dan memahami pelbagai isu rakyat di sesebuah kawasan.

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak berkata, sejak diberi amanah sebagai Penyelaras DUN Labu, sebanyak 498 program telah dilaksanakan menerusi Pusat Khidmat bagi mendekati masyarakat serta menyampaikan perkhidmatan yang terbaik, lapor Suara Keadilan.

“Daripada orang tak berapa nak kenal saya sampailah ke hari ini, kita di pusat khidmat telah menjalankan 498 program.

“Itulah cara saya mendekati masyarakat, berinteraksi dan memberi servis yang terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Selain memberi perhatian kepada isu pendidikan dan keagamaan, beberapa masalah infrastruktur asas yang berlarutan sejak sekian lama turut berjaya diselesaikan, termasuk isu bekalan elektrik di Kampung Gadong SC.

Menurutnya, penduduk kampung itu sebelum ini terpaksa berdepan catuan bekalan elektrik terutama pada waktu malam dan musim perayaan sehingga menjejaskan bekalan elektrik di seluruh kampung.

“Dalam tempoh tiga bulan sahaja saya berjaya menyelesaikan isu bekalan elektrik di Kampung Gadong SC dengan pembinaan sebuah pencawang TNB,” katanya lagi.

Ahmad Faez turut memaklumkan, ketika mula dilantik sebagai Penyelaras DUN Labu, beliau mendapati Kampung Gadong SC langsung tidak mempunyai liputan talian telefon bimbit.

Katanya, hasil usaha bersama pihak berkaitan, dua menara telekomunikasi berjaya dibina dalam tempoh setahun bagi meningkatkan capaian komunikasi penduduk.

“Alhamdulillah, dalam masa setahun bukan satu menara telekomunikasi yang saya bawa masuk ke Kampung Gadong SC tetapi dua menara telekomunikasi,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seorang bekas imam yang mewakafkan tanah miliknya bagi pembinaan pencawang TNB dan sebuah lagi tapak bagi pembinaan menara telekomunikasi.

Menurutnya, tanah milik bekas imam berkenaan yang berada di kawasan tinggi dikenal pasti sesuai untuk pembinaan menara telekomunikasi oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Selain itu, beliau berkata sebuah jambatan baharu turut berjaya dibina di kawasan Gadong ketika beliau berkhidmat sebagai Penyelaras DUN Labu selama dua tahun enam bulan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button