BERITA SEMASA

Chen Kah Eng yakin keluar mengundi tinggi di Stulang

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, Chen Kah Eng yakin kadar keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini mampu mencatatkan peratusan tinggi berdasarkan kehadiran pengundi sejak awal pagi.

chen kah eng stulang
Chen Kah Eng membuang undi hari ini.

Beliau berkata, tinjauan di pusat mengundi Sekolah Rendah Agama Bersepadu Johor Bahru mendapati ramai pengundi hadir seawal pusat mengundi dibuka, sekali gus menunjukkan kesedaran rakyat terhadap tanggungjawab demokrasi.

“Saya lihat ramai yang keluar mengundi dan saya menjangkakan mungkin akan berlaku rekod baharu dari segi peratusan keluar mengundi.

“Saya menyeru semua pengundi supaya datang seawal mungkin untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui media selepas selesai mengundi di pusat berkenaan pada jam 8.10 pagi, hari ini.

Menurutnya, pengundi mempunyai masa yang panjang untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing, namun mereka digalakkan hadir lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan terutama jika berlaku perubahan cuaca.

“Sebelum ini saya selalu mengundi di sini, tetapi kali ini saya melihat lebih ramai orang keluar mengundi walaupun masih awal pagi. Ini satu petanda yang baik,” katanya lagi.

Terdahulu, tinjauan di pusat mengundi Sekolah Rendah Agama Bersepadu Johor Bahru mendapati kira-kira 100 pengundi sudah beratur seawal jam 7.10 pagi dalam suasana tenang dan terkawal.

DUN Stulang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Chen Kah Eng (PH-DAP), Tan Boon Heng (Bersama), Lim Chin Eng (PN-BERSATU) dan Bong Seng Heng (BN-MCA).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button