POLITIK

Status calon tempatan PH di DUN Rengit jadi kekuatan Mohamad Yazid

BATU PAHAT – Pengalaman dan kedudukan sebagai anak tempatan menjadi kekuatan utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Mohamad Yazid Bakri dalam mendekati pengundi setempat, selain tekadnya untuk menangani isu asas yang membelenggu penduduk sejak sekian lama.

Beliau yang merupakan anak jati Kampung Seri Merlong berkata, status sebagai calon tempatan menjadi faktor utama yang memudahkan beliau mendekati masyarakat kerana majoriti penduduk di kawasan itu sudah mengenalinya sejak sekian lama.

Katanya, keadaan itu menjadikan proses kempen lebih mudah tanpa memerlukan pendekatan memperkenalkan diri secara agresif, selain menerima sokongan dan doa daripada penduduk kampung.

“Saya tinggal di Kampung Seri Merlong dan ini memang kampung kelahiran saya. Hampir 70 peratus masyarakat di Rengit mengenali saya,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune di sini hari ini.

Baca juga : Mohamad Yazid sambut baik sokongan Puad Zarkashi, beri kesan positif kempen PH di DUN Rengit

Menurut Mohamad Yazid, hubungan rapat dengan masyarakat setempat membolehkannya memahami secara langsung pelbagai isu yang dihadapi penduduk di kawasan tersebut.

Beliau berkata, antara fokus utama yang akan diperjuangkan sekiranya diberi mandat ialah isu bekalan air khususnya tekanan air rendah yang masih membelenggu sebahagian kawasan.

Katanya, walaupun kelulusan pembinaan tangki air telah diluluskan, pelaksanaan projek berkenaan masih berdepan beberapa isu termasuk proses pelantikan kontraktor.

Selain itu, beliau berkata masalah ban pecah di Kampung Sungai Berong Laut turut memerlukan perhatian segera terutama ketika fenomena air pasang besar yang boleh menyebabkan kerosakan lebih teruk.

“Saya bimbang jika berlaku air pasang besar, ban itu boleh pecah kerana keadaan sekarang sudah hampir runtuh,” katanya.

Mohamad Yazid berkata, isu perumahan generasi kedua FELDA, jalan kampung yang semakin terhakis serta gangguan haiwan liar seperti monyet, babi hutan dan anjing liar turut menjadi antara keutamaan untuk diselesaikan.

Beliau menegaskan semua isu berkenaan akan diperjuangkan secara berperingkat sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button